Jumaat, 18 Februari 2022 | 9:49am
Kanak-kanak berusia lima tahun hingga 11 tahun menerima vaksin COVID-19. - Foto fail NSTP
Kanak-kanak berusia lima tahun hingga 11 tahun menerima vaksin COVID-19. - Foto fail NSTP
https://covidnow.moh.gov.my/bm/vaccinations/
https://covidnow.moh.gov.my/bm/vaccinations/

Lebih 340,000 kanak-kanak terima dos pertama

KUALA LUMPUR: Seramai 341,960 atau 9.6 peratus populasi kanak-kanak berusia lima tahun hingga 11 tahun sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids), setakat semalam.

Jumlah itu mencatatkan peningkatan hampir 50,000 orang berbanding kelmarin, yang merekodkan 289,912 kanak-kanak atau 8.2 peratus kumpulan usia sama.

Semalam sahaja, sebanyak 51,556 dos harian diberikan kepada kanak-kanak melalui PICKids.

Sementara itu, populasi keseluruhan penduduk yang sudah mendapatkan dos penggalak ialah seramai 13,728,147 orang atau 42 peratus, manakala penduduk sudah lengkap vaksinasi seramai 25,739,546 atau 78.8 peratus.

Berdasarkan data laman web COVIDNOW, kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa tidak menunjukkan perubahan ketara iaitu merekodkan bilangan 22,941,779 atau 97.5 peratus sehingga semalam, sementara individu dewasa yang menerima sekurang-kurangnya satu dos pula 23,218,655 orang atau 98.7 peratus.

Kadar vaksinasi remaja berusia 12 tahun hingga 17 tahun juga kekal pada peratusan yang sama iaitu 89.9 peratus sudah lengkap vaksinasi, dengan jumlah terkininya seramai 2,797,767 orang, sementara 2,880,352 orang atau 92.6 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, kadar kebolehjangkitan atau R-naught (RT) COVID-19 di negara pada jangkaan mengikut kes seharian setakat semalam terus menunjukkan penurunan iaitu 1.27 berbanding 1.32 yang direkodkan, kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kadar Rt paling tinggi dilaporkan di Labuan iaitu 1.99, diikuti Sarawak (1.50), Sabah (1.47), Perlis (1.44), Kedah (1.41), Pulau Pinang (1.39) dan Terengganu (.37).

Negeri lain iaitu Kelantan mencatatkan Rt 1.36, diikuti Selangor (1.32), Negeri Sembilan (1.30), Kuala Lumpur dan Pahang (1.29); Johor dan Putrajaya (1.27); Perak (1.23) dan Melaka (1.21).

Semalam, kes harian COVID-19 di negara ini mencatatkan sedikit penurunan iaitu 26,701 kes baharu harian berbanding kelmarin, 27,831 kes, yang juga kes paling tinggi sejak COVID-19 mula dikesan di negara ini.

Sebanyak 39 kematian direkodkan semalam dengan 17 daripadanya kematian di luar hospital (BID) sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 32,240 korban sehingga kini. Daripada jumlah itu, 6,540 adalah BID.

https://covidnow.moh.gov.my/bm/cases
https://covidnow.moh.gov.my/bm/cases

Berita Harian X