Khamis, 17 Februari 2022 | 11:16pm
Seorang kanak-kanak ditemani ibu bapa membuat ujian saringan COVID-19 di Kota Kinabalu. - NSTP/MOHD ADAM ARININ
Seorang kanak-kanak ditemani ibu bapa membuat ujian saringan COVID-19 di Kota Kinabalu. - NSTP/MOHD ADAM ARININ

Tiga lagi kluster pendidikan di Sabah

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan 41 kluster aktif sejak Januari lalu dengan 31 daripadanya berkaitan institusi pendidikan, termasuk tiga lagi kluster baharu yang diisytiharkan hari ini.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata setakat hari ini, hanya satu kluster berkaitan institusi pendidikan ditamatkan iaitu Kluster Jalan Kepayan, Tambunan.

Beliau berkata, kluster membabitkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambunan itu adalah yang pertama berkaitan institusi pendidikan yang diisytiharkan di Sabah tahun ini.

Katanya, tiga kluster baharu yang direkodkan hari ini juga berkaitan institusi pendidikan, masing-masing satu di daerah Kota Belud dan dua lagi di Ranau.

"Di Kota Belud, Kluster Batu Enam diisytiharkan membabitkan pelajar asrama SMK Taun Gusi 2. Kes indeks ialah pelajar perempuan 15 tahun yang mula bergejala pada 9 Februari dan didapati positif pada 10 Februari ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kota Belud.

"Saringan terhadap kontak rapat iaitu rakan sebilik dan sekelas mendapati lebih ramai yang terjangkit menjadikan jumlah kumulatif positif COVID-19 di sekolah itu sebanyak 19 kes setakat hari ini," katanya dalam kenyataan di sini, petang ini.

Di Ranau, katanya, jangkitan membabitkan warga SMK Ulu Sugut mencetuskan Kluster Jalan Sugut Ranau selepas seorang guru wanita berumur 39 tahun dikesan positif COVID-19 melalui saringan bergejala pada 7 Februari lalu.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata saringan terhadap kontak rapat mendapati lebih ramai yang didapati positif dengan jumlah keseluruhan setakat hari ini sebanyak 49 kes.

"Satu lagi kluster institusi pendidikan di daerah Ranau hari ini ialah Kluster Kemburongoh 2 yang membabitkan warga SMK Kemburongoh.

"Kes indeks adalah seorang lelaki berumur 52 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah berkenaan.

"Dia didapati positif COVID-19 melalui saringan bergejala pada 7 Februari lalu. Secara keseluruhannya sebanyak 54 kes dikesan setakat hari ini," katanya.

Secara keseluruhan, Sabah hari ini merekodkan 4,794 kes baharu COVID-19 berbanding 5,082 kes semalam dengan daerah Kota Kinabalu kekal mencatat kes tertinggi sebanyak 904 kes, diikuti Penampang (513), Sandakan (459) dan Tuaran (444).

Daripada jumlah itu, sebanyak 99.56 peratus atau 4,773 daripada 4,794 kes berada dalam Kategori 1 dan Kategori 2, manakala 11 kes dalam Kategori 3, sembilan kes dalam Kategori 4 dan hanya satu kes dalam Kategori 5.

Berita Harian X