Khamis, 17 Februari 2022 | 7:21pm
Datin Seri Rosmah Mansor ketika hadir di Mahkamah pada pendengaran permohonan untuk singkirkan Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan daripada mendengar kes pengubahan wang haram yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Datin Seri Rosmah Mansor ketika hadir di Mahkamah pada pendengaran permohonan untuk singkirkan Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan daripada mendengar kes pengubahan wang haram yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

'Peguam bela Rosmah bantah Sri Ram berhujah sendiri'

KUALA LUMPUR: Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, yang beliau diarahkan oleh Peguam Negara untuk mengemukakan sendiri hujahan terhadap permohonan Datin Seri Rosmah Mansor menggugurkannya daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes pengubahan wang haram dihadapi isteri bekas perdana menteri itu.

Di awal prosiding hari ini yang sepatutnya mendengar bantahan awal pendakwaan terhadap permohonan Rosmah untuk menggugurkan Sri Ram di hadapan Hakim, Mohamed Zaini Mazlan, Sri Ram memberitahu, arahan berkenaan dimaklumkan kepadanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

Sri Ram berkata, arahan itu tidak ada kena mengena dengan kemampuan Ahmad Akram untuk menghujahkan perkara itu dalam prosiding terbabit.

"Saya terima arahan itu melalui Ahmad Akram untuk berhujah dalam permohonan ini dan arahan itu adalah daripada Peguam Negara.

"Beliau (Akram) berkata merasa selesa jika saya berhujah dalam kes saya sendiri.

"Dengan itu saya menyerahkan kepada mahkamah, sama ada saya patut berhujah untuk diri sendiri," katanya.

Bagaimanapun, seorang peguam bela Rosmah, Mohamed Reza Rahim, yang membantah perkara itu, berkata pihaknya hanya mendapat tahu hari ini bahawa Sri Ram sendiri akan berhujah dalam permohonan itu.

Katanya, dalam prosiding terdahulu, semua pihak adalah jelas bahawa Ahmad Akram akan mengemukakan hujahan dalam permohonan berkenaan.

Mohamed Reza berkata, Sri Ram tidak boleh berhujah bagi pihaknya sendiri kerana ia boleh menyebabkan konflik kepentingan berikutan beliau (Sri Ram) adalah subjek dalam permohonan berkenaan.

Katanya, tindakan itu bertentangan Peraturan 5 Profesion Perundangan (Amalan dan Etika) 1978.

Susulan itu, beliau memohon masa untuk meneliti otoriti perundangan mengenai isu berkenaan dan mencadangkan supaya persoalan, sama ada Sri Ram boleh berhujah untuk dirinya sendiri didengar dalam prosiding pada pagi esok.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, Mohamed Zaini kemudian menangguhkan prosiding kepada esok untuk mendengar persoalan berkenaan.

Pada 4 Oktober 2018, Rosmah, 69, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 12 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan seperti mana yang diperuntukkan Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Berita Harian X