Khamis, 17 Februari 2022 | 6:28pm
Kanak-kanak menerima suntikan vaksin dos pertama pada Program Imunisasi COVID-19 Untuk Kanak-Kanak berusia lima hingga 11 tahun di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tapak Pesta, Sungai Nibong, Georgetown. - Foto NSTP/Mikail Ong
Kanak-kanak menerima suntikan vaksin dos pertama pada Program Imunisasi COVID-19 Untuk Kanak-Kanak berusia lima hingga 11 tahun di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tapak Pesta, Sungai Nibong, Georgetown. - Foto NSTP/Mikail Ong

Kes COVID-19 babit kanak-kanak melonjak 160 peratus

PUTRAJAYA: Kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak dan bayi baru lahir merekodkan peningkatan dengan lonjakan 160 peratus.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata perbandingan terhadap laporan minggu epidemiologi kelima dan keenam tahun ini bagi golongan berkenaan mencatatkan peningkatan amat membimbangkan.

Jelasnya, kes COVID-19 bagi bayi baru lahir hingga berusia 11 tahun pada minggu epidemiologi kelima ialah 6,524 kes, berbanding 16,959 kes pada minggu epidemiologi keenam.

"Bagi tempoh Januari hingga hari ini, sebanyak tiga kes kematian direkodkan dalam kelompok usia sifar (bayi) hingga 11 tahun.

"Peningkatan ini amat membimbangkan dan perlu ditangani menerusi pemberian vaksin, seperti ditawarkan melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

"Memang betul, bagi bayi yang baru lahir hingga berusia empat tahun, kita tiada lagi vaksin dan ia juga situasi sama di seluruh dunia.

"Tetapi untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, vaksin sudah disediakan kerajaan, justeru kita amat menggalakkan mereka khususnya ibu bapa untuk tampil membawa anak mereka mendapatkan suntikan pelalian," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mengulas tahap pengagihan suntikan imunisasi menerusi PICKids, Khairy berkata, penerima dalam kalangan masyarakat khususnya ibu bapa agak baik, namun kadar pendaftaran masih rendah.

Beliau berkata, hal itu kerana pendaftaran bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerusi PICKids setakat ini belum mencecah sejuta.

"Kita harap peningkatan kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak ini berupaya memberi kesedaran dan memacu peningkatan kadar pendaftaran PICKids," katanya.

Berita Harian X