Khamis, 17 Februari 2022 | 6:06pm
Datuk Mansor Othman (dua dari kiri, hadapan) meninjau kawasan hakisan benteng pantai di Pantai Rekreasi Punggur, Batu Pahat. - NSTP/ ESSA ABU YAMIN
Datuk Mansor Othman (dua dari kiri, hadapan) meninjau kawasan hakisan benteng pantai di Pantai Rekreasi Punggur, Batu Pahat. - NSTP/ ESSA ABU YAMIN

Peruntuk RM190j tangani banjir di Batu Pahat

BATU PAHAT: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memperuntukkan RM190 juta bagi menangani masalah banjir merangkumi kerja penggalian sungai, menaik taraf benteng sungai dan pembinaan struktur kawalan air di daerah ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Mansor Othman, berkata kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) bagi menghasilkan langkah jangka panjang ke arah mengurangkan risiko banjir dan impak pencemaran kepada sungai dan saliran dapat membantu perancangan pembangunan lebih sistematik.

"Ia juga dapat merancang pelaksanaan kerja pemuliharaan dan pembaikan berkaitan, sekali gus menangani isu banjir kilat dan sistem saliran tidak sempurna dalam kawasan bandar Batu Pahat.

"PISMA akan memanfaatkan lebih 35,000 penduduk sekitar 35 kilometer (km) dari muara sungai Batu Pahat, bermula dari benteng Peserai di sini hingga Tampok di Pontian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau kawasan hakisan benteng di Pantai Rekreasi Perpat, Rengit dekat sini, hari ini.

Mansor berkata, kerajaan turut meluluskan peruntukan tambahan RM35 juta bagi melaksanakan projek menaik taraf dan membaiki lebih 10 km benteng pantai yang terjejas sepanjang dua daerah Batu Pahat dan Pontian.

Katanya, peruntukan itu bertujuan menangani fenomena air pasang besar sebelum ini yang menyebabkan air laut melimpahi benteng sepanjang pantai di kedua-dua daerah berkenaan.

"Kerja ukur pantai dan reka bentuk terperinci akan dilaksanakan dalam masa terdekat manakala tender kerja dijangka dibuka penghujung tahun ini," katanya.

Mansor berkata, kejadian banjir dilapor berlaku hampir setiap bulan berikutan sistem saliran tidak teratur dan masalah perparitan.

Jelasnya, pembangunan tidak terancang dan kesan air pasang surut laut serentak dengan hujan lebat turut memberi kesan dan menjejaskan kegiatan ekonomi setempat.

Berita Harian X