Khamis, 17 Februari 2022 | 4:38pm

Kadar kemasukan PKRC di Pulau Pinang 50 peratus

GEORGETOWN: Kemasukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Pulau Pinang masih terkawal pada kadar 50 peratus, walaupun berlaku peningkatan kes COVID-19 di negeri itu baru-baru ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata kerajaan negeri akan terus memantau keadaan semasa, serta membuat persiapan bagi memastikan kemudahan mencukupi bagi menampung peningkatan kes di Pulau Pinang.

"Daripada statistik Jabatan Kesihatan negeri, lebih 90 peratus kes COVID-19 di negeri ini adalah dalam kategori satu dan dua. Jadi, kemasukan ke fasiliti penjagaan kesihatan dan PKRC masih terurus," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MTT Properties & Development Sdn Bhd dan Selgate Healthcare Sdn Bhd, untuk membangunkan hospital pakar swasta di perbandaran Botanica.CT di Balik Pulau.

Dalam pada itu, Kon Yeow menasihati ibu bapa supaya membenarkan anak-anak mereka diberi vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids), dan mereka yang layak diberi suntikan vaksin penggalak supaya berbuat demikian, bagi mendapatkan perlindungan daripada COVID-19.

Setakat 15 Februari, sebanyak 9,014 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 di bawah PICKids di Pulau Pinang. – BERNAMA

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MTT Properties & Development Sdn Bhd dan Selgate Healthcare Sdn Bhd, untuk membangunkan hospital pakar swasta di perbandaran Botanica.CT di Balik Pulau. - Foto NSTP/Mikail Ong
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MTT Properties & Development Sdn Bhd dan Selgate Healthcare Sdn Bhd, untuk membangunkan hospital pakar swasta di perbandaran Botanica.CT di Balik Pulau. - Foto NSTP/Mikail Ong
Berita Harian X