Khamis, 17 Februari 2022 | 2:27pm
Foto NSTP/Danial Saad (hiasan)
Foto NSTP/Danial Saad (hiasan)

Berbeza pendapat antara faktor kanak-kanak tidak divaksin

KOTA BHARU: Ibu bapa tidak sependapat berhubung suntikan vaksin antara punca kanak-kanak di Kelantan tidak didaftarkan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids).

Selain itu, sikap tunggu dan lihat juga menyebabkan PICKids dalam kalangan kanak-kanak kurang mendapat sambutan di negeri ini.

Seorang ibu yang mahu dikenali sebagai Hafizah, 39, berkata setakat ini dua anaknya yang layak menerima vaksin belum berbuat demikian disebabkan berbeza pendapat dengan suami.

"Saya melihat pengambilan vaksin itu dari sudut kebaikan dan bersetuju sekiranya anak-anak diberi vaksin. Dengan pengambilan vaksin sekurang-kurangnya kita mengambil langkah pencegahan.

"Namun, berbeza dengan suami saya kerana dia beranggapan anak-anak masih terlalu kecil dan bimbang akan kesan sampingan.

"Disebabkan itu, saya terpaksa tangguh terlebih dahulu pengambilan vaksin untuk anak-anak saya sehinggalah suami bersetuju untuk berbuat demikian," katanya ketika dihubungi.

Bagi Faizatul Akmal Ariffin, 40, pula mengambil sikap tunggu dan lihat terlebih dahulu sebelum tiga anaknya mengambil vaksin.

"Saya bukanlah antivaksin atau menolak anak-anak daripada mengambil vaksin kerana saya sendiri mengambil vaksin termasuk dos penggalak.

"Cuma untuk anak-anak, mungkin ambil sedikit lewat kerana bimbang kesan dan sedikit sebanyak terkesan dengan maklumat yang tular di media sosial berhubung pengambilan vaksin untuk kanak-kanak," katanya yang tinggal di Kampung Sireh.

Media semalam melaporkan, Kelantan antara negeri yang terendah membabitkan suntikan vaksin dalam kalangan kanak-kanak.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, dilaporkan berkata walaupun kadar suntikan vaksin dalam kalangan kanak-kanak di Kelantan antara yang terendah, namun pihaknya yakin jumlah itu akan meningkat dari semasa ke semasa.

Berita Harian X