Khamis, 17 Februari 2022 | 2:18pm
Bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim hadir bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad
Bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim hadir bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad

Keputusan rayuan Abdul Azeez ditetapkan 23 Februari

KUALA LUMPUR: Keputusan rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya, ditetapkan pada 23 Februari ini.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Nik Haslinie Hashim memaklumkan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi bahawa pihak-pihak terbabit telah menerima surat makluman daripada Mahkamah Rayuan minggu lalu, berhubung tarikh keputusan rayuan itu.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Azeez, 55, mengesahkan perkara itu.

Azura menetapkan 18 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi pihak-pihak memaklumkan status keputusan rayuan. Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes.

Perbicaraan kes Abdul Azeez yang bermula 19 Ogos 2020 di Mahkamah Sesyen dengan tujuh saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan itu.

Abdul Azeez merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada 12 Mac tahun lalu yang menolak permohonannya untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin ketika menolak permohonan itu berkata mahkamah mendapati kesemua pertuduhan itu tidak cacat dan berlandaskan peruntukan undang-undang.

Mahkamah Tinggi juga membenarkan permohonan Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling, untuk menangguhkan perbicaraan kesnya sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Abdul Azeez menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah keseluruhan RM13.9 juta yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank, Jalan Tun Perak di sini pada 8 Disember 2010 dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018, manakala kesalahan pengubahan wang haram dilakukan di kawasan Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018. – BERNAMA

Berita Harian X