Khamis, 17 Februari 2022 | 7:52am
Foto hiasan
Foto hiasan

Dua lagi kluster pendidikan direkod di Sabah

KOTA KINABALU: Dua lagi kluster baharu COVID-19 berkaitan institusi pendidikan dilaporkan di negeri ini, semalam yang membabitkan daerah Ranau dan Kota Marudu.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata dua kluster terbabit adalah Kluster Jalan Sokid di daerah Ranau dan Kluster Jalan Bandau di daerah Kota Marudu.

Beliau berkata, Kluster Jalan Sokid dilaporkan berlaku dalam kalangan warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bundu Tuhan pada 4 Februari lepas.

Katanya, kes indeks bagi kluster institusi pendidikan ini membabitkan melalui saringan bergejala seorang lelaki tempatan, berumur 24 tahun, pekerja kontrak pembersihan di sekolah terbabit.

"Daripada 41 kontak rapat yang disaring, 27 individu terdiri daripada rakan sebilik dan rakan sekelas didapati positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 28 kes, termasuk 17 kes baharu hari ini (semalam)," katanya.

Sementara, Kluster Jalan Bandau katanya, membabitkan pelajar asrama di SMK Kota Marudu 1.

"Kes indeks adalah pelajar lelaki, berumur 18 tahun, yang dikesan melalui saringan bergejala pada 9 Februari lepas.

"Saringan terhadap 175 kontak rapat yang terdiri daripada rakan sebilik dan rakan sekelas kemudiannya mendapati pertambahan 95 kes dengan jumlah kumulatif sebanyak 96 kes," katanya.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata jumlah kes harian COVID-19 semalam kekal mencatatkan sebanyak empat angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini (semalam) adalah sebanyak 5,082 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 287,751 kes.

"Sembilan kes kematian dilaporkan iaitu tiga kes di daerah Tawau dan Papar serta masing-masing satu kes di Beaufort, Kudat dan Semporna.

"Bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 1,211 menjadikan jumlah kumulatif 248,826 orang," katanya.

https://covidnow.moh.gov.my/bm/cases
https://covidnow.moh.gov.my/bm/cases

Berita Harian X