Rabu, 16 Februari 2022 | 11:51am
Foto hiasan NSTP
Foto hiasan NSTP

Lebih RM1 juta pampasan penternak babi terjejas wabak ASF

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menganggarkan bayaran pampasan kerajaan kepada penternak yang terjejas akibat wabak Demam Babi Afrika (ASF) di Melaka adalah melebihi RM1 juta.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor, berkata bagi tujuan itu, JPV sudah mengemukakan kertas cadangan bagi peningkatan kadar pampasan dan tambahan peruntukan kepada penternak terbabit di mana ia sedang dalam penelitian Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga kini sebanyak 21,047 babi dilupuskan JPV Melaka di 26 ladang akibat virus ASF bagi mencegah penularannya.

"Bagi kawalan penyakit ASF berdasarkan Seksyen 20, Akta binatang 1953, penternak yang terbabit dengan virus ASF ini boleh diberikan pampasan di mana JPV sudah memperoleh kelulusan bayaran pampasan ternakan berpenyakit berdasarkan keputusan Kementerian Kewangan pada tahun 2011.

"Namun jumlah pampasan diterima JPV hanyalah terhad kepada RM1 juta setahun.

"Justeru, JPV sudah mengemukakan kertas cadangan bagi peningkatan kadar pampasan dan tambahan peruntukan pampasan bagi memenuhi keperluan pelupusan ternakan terjangkit terutamanya berikutan wabak penyakit kulit berbintil (LSD) dan ASF.

"Kertas cadangan ini bagaimanapun masih dalam tindakan penelitian untuk kelulusan di peringkat MAFI," katanya kepada BH, di sini.

Pada 24 Disember lalu, JPV mengesahkan berlaku penularan penyakit ASF di tujuh ladang babi komersial di Paya Mengkuang di Masjid Tanah, Melaka melalui pengesahan sampel yang diuji di Makmal Veterinar Sepang pada 20, 22 dan 23 Disember.

Pada masa sama, Dr Norlizan berkata, oleh kerana jumlah pelupusan ternakan babi yang dijangkiti ASF adalah tinggi, JPV juga menghantar permohonan peruntukan pampasan dan kos operasi program kawalan dan pelupusan ASF di Melaka kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Beliau berkata, jabatan turut mengusulkan keperluan bantuan dibawah bencana semasa mesyuarat Tabung Bencana Pertanian pada 24 Januari lalu.

Katanya, pelupusan 21,047 ekor babi itu termasuklah 3,931 ekor babi yang mati akibat virus terbabit dan ditanam di tapak pelupusan.

"Pelupusan babi bagi 20 premis yang positif ASF selesai pada 19 Januari lalu manakala bagi lima premis yang baharu dikesan positif selesai pada 29 Januari lalu. Sementara pelupusan bagi sebuah premis yang baru dikesan positif pada 31 Januari dijalankan pada 4 dan 5 Februari lalu," katanya.

Sehingga kini, Norlizan berkata, sembilan ladang di Paya Mengkuang masih bebas daripada jangkitan ASF.

Beliau berkata, penternak sudah pun dinasihatkan supaya meningkatkan tahap biosekuriti ladang supaya dapat mencegah penularan virus ASF ke dalam ladang mereka.

"JPV juga membantu dalam menjalankan disinfeksi di rumah sembelih dan jalan-jalan ladang serta kenderaan yang memasuki kawasan ladang di Paya Mengkuang.

"Terdapat dua stesen disinfeksi iaitu di tapak pelupusan dan pada laluan utama kenderaan selain penyediaan tujuh laluan jalan kecil di kawasan Paya Mengkuang dengan guni yang di tabur dengan kapur," katanya.

Beliau berkata, bagi 26 ladang yang sudah dijangkiti, ia memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk beroperasi semula selepas melalui beberapa proses tertentu.

Katanya, ia termasuklah proses pembersihan dan disinfeksi secara sepenuhnya untuk membunuh virus dan dibiarkan kosong selama 40 hari termasuk persampelan calitan pada lantai, dinding dan palung makanan selain nyahkutu babi.

"Selepas itu, survelan ternakan sentinel perlu dijalankan selama 40 hari lagi dengan meletakkan dua babi sihat di setiap kandang untuk mengetahui sama ada virus ASF masih terdapat di dalam ladang. Babi sentinel ini perlu dipantau dari masa semasa untuk mengesan jangkitan dan tanda klinikal yang berlaku semasa tempoh survelan terbabit," katanya.

Berita Harian X