Rabu, 16 Februari 2022 | 10:22am
Muhammad Sanusi (kemeja hitam) ketika melakukan Lawatan Kerja Ke Tapak Program Model Pengurusan Padi 2.0 di bawah Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di Kampung Asma Jawa di sini, semalam. - NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Muhammad Sanusi (kemeja hitam) ketika melakukan Lawatan Kerja Ke Tapak Program Model Pengurusan Padi 2.0 di bawah Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di Kampung Asma Jawa di sini, semalam. - NSTP/Noorazura Abdul Rahman

Kedah sasar peningkatan hasil padi menjelang 2026

PENDANG: Kerajaan negeri bersama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menyasarkan peningkatan hasil padi sehingga lapan tan per hektar menjelang 2026 menerusi Program Model Pengurusan Estet Padi (EMM) 2.0.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata program yang dilaksanakan di kawasan seluas 64 hektar di Kampung Asam Jawa di sini, sejak tahun lalu, adalah kesinambungan kejayaan Program EMM 1.0 yang diperkenal pada 2011.

"Kita harap program yang menggunakan Sistem Pertanian Pintar (SPP) ini dapat diperluaskan ke semua kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

"Projek ini dikendalikan syarikat tempatan yang membabitkan penggunaan Internet Pelbagai Benda dan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0)," katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan tapak Projek EMM 2.0 di sini, semalam.

Muhammad Sanusi berkata, pada musim lalu projek ini berjaya mencatatkan purata hasil padi hampir 4.7 tan per hektar.

Sementara itu, NCIA memaklumkan Program EMM 2.0 mampu meningkatkan kualiti dan kuantiti hasil tanaman padi, sekali gus meningkatkan produktiviti pesawah menjelang 2026.

Katanya, Program EMM 2.0 adalah inisiatif strategik di bawah NCIA Agribio Economic Zone (NAEZ) membabitkan dua kawasan iaitu Transkrian Agri Hub dan Chuping-Bukit Kayu Hitam Agri Belt.

"Program ini dijangka dapat memberikan impak besar kepada agenda sekuriti makanan nasional dan juga B40 dalam usaha meningkatkan pendapatan serta taraf sosioekonomi rakyat di NCER.

"Penggunaan SPP ini juga akan menarik minat golongan muda serta menghasilkan petani yang tergolong dalam kelompok pekerja mahir dalam industri pertanian dengan penggunaan peralatan terkini," katanya

Katanya, program EMM 1.0 diperkenalkan pada tahun 2011 membabitkan 2,000 hektar sawah di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang yang seterusnya diperluas ke beberapa lokasi lain di Kuala Muda Selatan, Asun dan Kerpan di Kedah dan Kerian, Perak.

"Dalam masa dua musim, pelaksanaan Program EMM1.0, Kerian menyaksikan peningkatan purata hasil padi yang sangat memberangsangkan iaitu daripada 3.3 tan per hektar kepada enam tan per hektar.

"Ini juga meningkatkan pendapatan petani sehingga 27 peratus dan penggunaan jentera pada tahap 80 peratus," katanya.

Berita Harian X