Selasa, 15 Februari 2022 | 6:24pm

Anak hasil kahwin campur diiktiraf Bumiputera Sarawak

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Tafsiran (Pindaan) 2022, yang mengiktiraf anak hasil perkahwinan campur di negeri ini sebagai Bumiputera.

Kelulusan RUU selepas ia disokong sebulat suara selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Berdasarkan pindaan RUU itu, anak hasil perkahwinan campur diiktiraf sebagai Bumiputera walaupun hanya seorang ibu atau bapanya adalah pribumi Sarawak.

Sharifah Hasidah ketika membentangkan RUU itu berkata, ketika ini sebanyak 12 lagi kaum akan dimasukkan sebagai Bumiputera iaitu Bagatan, Bakong, Bemali, Berawan, Dali, Lakiput, Jatti Miriek, Narom, Sa'ban, Tatau, Tring dan Vaie.

"Pindaan ini amat penting dan tepat pada masanya serta ia langkah ke hadapan Sarawak dalam menangani isu itu kerana perkahwinan campur adalah perkara biasa berlaku di negeri ini.

"Susulan pindaan ini, tidak ada lagi keperluan untuk meletakkan status Bumiputera bersandarkan syarat kedua-dua ibu bapa mesti kalangan pribumi Sarawak seperti termaktub di dalam ordinan sebelum ini," katanya.

Sharifah Hasidah berkata, pindaan itu akan menyelesaikan banyak masalah perundangan serius yang menjejaskan anak kahwin campur khusus isu pewarisan dan pemindahan hak milik tanah.

Beliau berkata, dengan pindaan itu juga, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) boleh meminda jadual jika terdapat penambahan kaum, selain daripada yang disenaraikan sebagai Bumiputera Sarawak pada masa depan.

Terdahulu, seramai 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tampil pada sesi perbahasan pindaan RUU berkenaan.

Baru Bian (PSB-Ba'kelalan) dalam perbahasan itu berkata, semua anak hasil perkahwinan campur antara anak Sarawak dan bukan anak Sarawak harus diiktiraf sebagai pribumi Sarawak.

Beliau berkata, jika itu tidak dilakukan, ramai rakyat Sarawak akan kehilangan status pribumi.

Berita Harian X