Selasa, 15 Februari 2022 | 5:43pm

Bantuan tambahan RM200 juta untuk usahawan terjejas pandemik, banjir

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluluskan peruntukan tambahan berjumlah RM200 juta bagi membantu usahawan seluruh negara yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 dan banjir.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, berkata ini menjadikan peruntukan bantuan yang diberikan kepada usahawan terjejas, meningkat kepada RM400 juta menerusi Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM).

"Peruntukan RM200 juta yang diluluskan pada Disember lalu habis diagihkan kepada penerima. Ketika ini saya terima banyak aduan lambat dapat bantuan, tetapi sebenarnya RM200 juta yang diperuntukkan dulu itu sudah habis.

"Bagi bantuan untuk usahawan terjejas banjir, Perdana Menteri bersetuju menambah RM150 juta bagi usahawan mikro serta industri kecil dan sederhana (IKS), selain RM50 juta menerusi SPIM, menjadikan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta.

"Kementerian mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri yang meluluskan peruntukan tambahan bagi membantu usahawan terjejas," katanya pada sidang media selepas program Kembali ke Sekolah di Angsana Mall, di sini hari ini.

Rabu lalu, Perdana Menteri mengumumkan geran bernilai RM3,000 melalui TEKUN Nasional kepada setiap perniagaan mikro dan 'informal' yang terjejas akibat banjir, membabitkan peruntukan berjumlah RM50 juta bagi lebih 15,000 peniaga.

Dalam pada itu, Noh berkata, bantuan yang diumumkan Perdana Menteri itu membabitkan pinjaman mikro sehingga RM10,000 tanpa faedah dengan tempoh bayar balik sehingga lima tahun berserta moratorium 12 bulan.

"Dana sebanyak RM100 juta disediakan melalui Program SME Emergency Fund (SMEEF) di bawah SME Corp untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terjejas, pinjaman sehingga RM100,000 tanpa faedah dengan tempoh bayar balik sehingga lima tahun berserta moratorium 12 bulan," katanya.

Sementara itu, katanya, kira-kira 13,600 usahawan di bawah kementeriannya dikenal pasti terjejas akibat banjir Disember lalu dan mereka bakal diberi bantuan dalam bentuk geran seperti dipersetujui Kabinet yang dijadual diserahkan pada bulan depan.

Noh dan Pengerusi UDA Holdings Bhd (UDA), Datuk Norliza Abdul Rahim (tengah) bersama penerima sumbangan pada Program Kembali ke Sekolah 2022 di Angsana Mall, Johor Bahru, hari ini. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Noh dan Pengerusi UDA Holdings Bhd (UDA), Datuk Norliza Abdul Rahim (tengah) bersama penerima sumbangan pada Program Kembali ke Sekolah 2022 di Angsana Mall, Johor Bahru, hari ini. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Berita Harian X