Selasa, 15 Februari 2022 | 4:23pm

DUN Sarawak lulus pinda gelaran jawatan Ketua Menteri kepada 'Premier'

KUCHING: Undian semula terpaksa diadakan sebelum Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 bagi menukar terma Ketua Menteri kepada 'Premier' diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Pada undian pertama, RUU itu mendapat sokongan 54 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), manakala enam lagi tidak menyokong. Keputusan undian itu dibantah Chong Chieng Jen (DAP-Padungan) kerana menurutnya, jumlah yang menyokong itu tidak mencapai dua pertiga.

Bantahan Chieng Jen memaksa Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohd Asfia Awang Nassar, membuat undian semula sebelum RUU berkenaan diluluskan selepas mendapat sokongan seramai 67 ADUN berbanding enam yang membantah.

Susulan keputusan undian itu, jawatan Ketua Menteri Sarawak kini digantikan nama baharu, 'Premier Sarawak'.

Seramai 16 ADUN membahaskan RUU itu, iaitu Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Dudong), WilfredYap (GPS-Kota Sentosa), Chieng Jen, Christopher Gira (GPS-Tamin), Fazruddin Abdul Rahman (GPS-Tupong), Baru Bian (PSB-Ba'kelalan), Safiee Ahmad (GPS-Daro).

Lo Khere Chiang (GPS-Batu Kitang), Datuk Gerawat Jala (GPS-Mulu), Datuk Talib Zulpilip (GPS- Jepak), Wilson Nyabong Ijang (GPS-Pelagus), Chieng Jin Ek (GPS-Bukit Assek), Datuk Seri Wong Soon Koh (PSB-Bawang Assan) Adam Yii (GPS-Pujut), Violet Yong (DAP-Pending) dan Royston Valentine (GPS-Tellian).

RUU yang dibentangkan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan disokong Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lee Kim Shin, diluluskan selepas bacaan ketiga.

Abdul Karim dalam pembentangannya berkata, pindaan Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini mengembalikan semangat asal kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) iaitu apabila Sarawak bersetuju mengambil bahagian dalam pembentukan Malaysia, statusnya sebagai satu daripada tiga wilayah (Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak) harus dikekalkan.

Justeru, katanya, ia meletakkan Sarawak sebagai salah satu daripada tiga wilayah dan dianggap statusnya tidak sama dengan negeri-negeri lain dalam Persekutuan Tanah Melayu.

"Seperti yang diamalkan di wilayah Komanwel lain yang penubuhannya serupa dengan Malaysia termasuk Australia dan Kanada, Ketua Persekutuan disebut sebagai Perdana Menteri dan Ketua Wilayah yang membentuk Persekutuan pula disebut sebagai 'Premier' manakala negeri lain diketuai oleh Ketua Menteri.

"Oleh itu, untuk menggambarkan dengan betul status Sarawak sebagai berbeza daripada negeri-negeri lain dalam Persekutuan, adalah dicadangkan jawatan Ketua Menteri ditukarkan kepada 'Premier'," katanya.

Selain itu, turut dipinda di bawah RUU berkenaan adalah Perkara 7A bagi menggantikan nama jawatan 'Menteri Muda' kepada 'Timbalan Menteri.'

Berita Harian X