Selasa, 15 Februari 2022 | 4:22pm
 Ketua Dua GAPENA, Amiruddin Md Ali Hanafiah
Ketua Dua GAPENA, Amiruddin Md Ali Hanafiah

'GAPENA tidak pertikai istilah 'Premier' ganti Ketua Menteri Sarawak'

KUALA LUMPUR: Penggunaan istilah 'Premier' bagi merujuk jawatan Ketua Menteri Sarawak perlu mengambil kira pemahaman rakyat setempat bagi mengelak wujud kekeliruan dalam masyarakat mengenai kedudukan ketua dalam kerajaan negeri.

Ketua Dua Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Amiruddin Md Ali Hanafiah, berkata penggunaannya boleh diteruskan selepas ia diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan menjadi sebahagian undang-undang di negeri itu.

"Ia terpulang kepada Kerajaan Sarawak untuk menukar istilah Ketua Menteri kepada 'Premier', asalkan ia tidak menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat. Bagi GAPENA, kita tidak mempertikai apa saja penggunaan istilah asalkan ia mengikut lunas undang-undang.

"Dari segi penggunaan istilah itu pun, kita tiada masalah, itu perkara kedua. Jika undang-undang benarkan, kita ikut pada ketetapan undang-undang," katanya kepada BH, hari ini.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan rang undang-undang untuk meminda Perlembagaan Negeri bagi menukar gelaran jawatan Ketua Menteri kepada Premier

Amiruddin berkata, cadangan menukar istilah itu juga dilihat sebagai usaha kerajaan negeri untuk membuktikan Sarawak bukan saja sebuah negeri tetapi memiliki status istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan.

Istilah 'Premier' itu dicadangkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 yang dibentangkan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Abdul Karim berkata, pindaan Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini mengembalikan status Sarawak sebagai sebagai satu daripada tiga wilayah bersama Persekutuan Tanah Melayu dan Sabah yang membentuk Malaysia.

Pindaan itu dibuat susulan kelulusan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2022 (Akta A1642) dan diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 19 Januari lalu, sebelum dikuatkuasakan bermula 11 Februari lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, akta itu merangkumi pindaan Perkara 1(2), Perkara 160(2) dan Perkara 161a (6) serta 7) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, RUU itu diwartakan sebagai Akta A1642 pada 25 Januari lalu dan penguatkuasaan adalah komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap Perjanjian Malaysia (MA63).

Berita Harian X