Isnin, 14 Februari 2022 | 6:36pm
Anwar Ibrahim dan Mohamad Sabu (tengah) bersama pemimpin PH dan MUDA pada majlis Pelancaran Jentera PH dan MUDA bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Johor Bahru, hari ini. - NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Anwar Ibrahim dan Mohamad Sabu (tengah) bersama pemimpin PH dan MUDA pada majlis Pelancaran Jentera PH dan MUDA bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Johor Bahru, hari ini. - NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

PH tarik sokong kerajaan jika RUU Anti Lompat Parti tak dilulus

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan akan menarik semula sokongan terhadap memorandum persefahaman (MoU) Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik dengan kerajaan, jika Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti tidak diluluskan pada sesi parlimen Mac depan.

Pengerusinya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sekiranya RUU itu dipersetujui dan diluluskan pada sesi Parlimen nanti, PH sedia berunding untuk meneruskan persefahaman berkenaan.

"Untuk waktu ini, kita tidak boleh harapkan apa- apa selebihnya daripada kerajaan Persekutuan. Benar ada MoU, yang menetapkan beberapa peruntukan tambahan RM45 bilion untuk selesaikan masalah COVID-19, RM10 bilion masalah kemiskinan dan Undi18 yang ditetapkan.

"RUU Anti Lompat Parti mesti diluluskan sebelum akhir sesi Parlimen pada Mac, sekiranya tidak, maka MoU itu kita tolak. Kalau setuju, rundingan boleh diteruskan, kalau tidak, terbatal secara sendirinya MoU itu," katanya pada Majlis Pelancaran Jentera PH dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abd Rahman.

MoU Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangani kerajaan dan PH pada 13 September 2021, antara lain bersetuju melakukan transformasi melibatkan pelan pemulihan COVID-19, pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan penubuhan Jawatankuasa Pemandu.

Sementara itu, Naib Presiden Majlis Presiden PH, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri akan ditarik jika RUU Anti Lompat Parti tidak dibawa dan diluluskan pada sesi parlimen pada Mac depan.

"Saya anggota Jawatankuasa Penyelaras MoU PH dan kerajaan. Memang itu ada perkara asas yang juga aspek terbesar dalam MoU dan sekiranya pada sesi Parlimen Mac ini, ia tidak dibawa dan diluluskan, PH akan tarik sokongan kepada Perdana Menteri," katanya.

Mengenai kemungkinan kerajaan Persekutuan tumbang disebabkan PH menarik sokongan terhadap MoU itu, beliau yang juga Timbalan Presiden AMANAH dan Ahli Parlimen Pulai, membayangkan kemungkinan itu akan berlaku jika kerajaan tidak membawa RUU Anti Lompat Parti pada sesi Parlimen bulan depan.

Berita Harian X