Isnin, 14 Februari 2022 | 3:19pm
- Foto hiasan - FAIL NSTP
- Foto hiasan - FAIL NSTP

Mahkamah saran pesara hakim saman kerajaan rujuk proses mediasi

KUALA LUMPUR: Hakim yang mendengar pertikaian saman difailkan 35 pesara hakim termasuk tujuh balu dan tanggungan mereka terhadap Kerajaan Malaysia, mencadangkan semua pihak terbabit meneliti kemungkinan merujuk kes kepada proses mediasi.

Pertikaian saman itu adalah berhubung dakwaan pesara hakim berkenaan bahawa kerajaan gagal melaraskan kenaikan pencen dan faedah yang diterima sejak 2015.

Peguam yang mewakili pesara hakim termasuk tujuh balu dan tanggungan mereka, Christopher Leong, memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi bahawa mereka bersedia meneroka kemungkinan merujuk kepada proses mediasi dalam pertikaian saman yang dikemukakan terhadap kerajaan.

Memberitahu media selepas prosiding pengurusan kes hari ini, Leong berkata, perkara berkenaan dimaklumkan kepada mahkamah selepas Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mencadangkan semua pihak supaya merujuk pertikaian kepada proses mediasi.

Leong berkata, Peguam Persekutuan, M Kogilambigai, memberitahu mahkamah pihaknya akan mendapatkan arahan lanjut berhubung perkara itu dan akan memaklumkan perkembangannya pada tarikh pengurusan kes berikutnya.

Dalam prosiding itu, katanya, hakim turut mendedahkan mempunyai pertalian keluarga dengan seorang daripada plaintif dan meminta pandangan semua pihak.

"Kami memaklumkan mahkamah, tiada isu berhubung perkara itu (tidak membangkitkannya dalam prosiding tetapi maklum defendan adalah Kerajaan Malaysia dan hakim berkhidmat dalam kerajaan sebelum ini dan tidak menjadi isu).

"Peguam Persekutuan memaklumkan pihaknya memerlukan masa untuk mendapatkan arahan lanjut berhubung perkara itu.

"Hakim menetapkan 21 Mac ini bagi pengurusan kes lanjut," katanya.

Antara plaintif yang memfailkan saman pemula itu termasuk bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff; bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor dan Tan Sri Norma Yaakob; dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan yang juga bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusoff.

Mereka menamakan Kerajaan Malaysia, Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sebagai defendan pertama hingga keempat.

Dalam saman pemula itu, plaintif memohon perisytiharan kerajaan gagal menetapkan peratusan kenaikan lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain mengikut Seksyen 15B(2) Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45) melalui perintah dalam warta.

Menurut plaintif, kerajaan gagal melaksanakan pelarasan itu sebaik kenaikan gaji hakim dan pesuruhjaya kehakiman yang sedang berkhidmat mengikut Peraturan-Peraturan Saraan Hakim (Pindaan Jadual Pertama dan Kelima) yang mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2015.

Plaintif berkata, ia secara berterusan mengubah pencen dan faedah lain sehingga merugikan mereka yang seterusnya melanggar Perkara 125(7) yang dibaca bersama Perkara 125(9) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka turut memohon perintah supaya perdana menteri dan jemaah menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan peratusan kenaikan yang lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain berkuat kuasa dari 1 Julai 2015 mengikut seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971.

Mereka turut memohon perintah bahawa defendan perlu membayar amaun yang mereka masing-masing berhak sejak 1 Julai 2015 dengan memakai peratusan kenaikan yang lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun ke atas pencen dan faedah lain.

Plaintif turut diwakili peguam Abdullah Abdul Rahman dan Derrick Moh manakala peguam Ikbal Harith bertindak bagi pihak Badan Peguam selaku peguam pemerhati.

Berita Harian X