Isnin, 14 Februari 2022 | 2:55pm
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengangkat sumpah taat setia pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewa Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di Kuching, hari ini. - NSTP/NADIM BOKHARI
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengangkat sumpah taat setia pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewa Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di Kuching, hari ini. - NSTP/NADIM BOKHARI

Positif COVID-19, 2 ADUN terlepas majlis angkat sumpah

KUCHING: Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terlepas upacara mengangkat sumpah wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini selepas dua daripada mereka positif COVID-19, manakala seorang lagi kontak rapat.

Mereka yang disahkan dijangkiti COVID-19 ialah ADUN Kuala Rajang yang juga Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datuk Len Talif Salleh dan ADUN Repok, Datuk Seri Huang Tiong Sii, manakala Menteri Muda Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew pula kontak rapat kes positif.

Berikutan itu, hanya 79 daripada 82 ADUN yang dipilih pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12), 18 Disember lalu mengangkat sumpah hari ini di hadapan Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar.

Ketua Menteri yang juga ADUN Gedong, Tan Sri Abang Johari Abang Openg mendahului upacara itu, disusuli tiga Timbalan Ketua Menteri, iaitu ADUN Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; ADUN Bukit Sari, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan ADUN Batu Kawa, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Upacara diteruskan dengan angkat sumpah Timbalan Speaker DUN Sarawak yang juga ADUN Muara Tuang, Datuk Idris Buang, disusuli semua ADUN, termasuk 16 muka baharu daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta enam wakil pembangkang, iaitu empat ADUN Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan dua ADUN DAP.

Majlis angkat sumpah kesemua ADUN membuka Mesyuarat Pertama Penggal Pertama DUN Sarawak ke-19 yang dijadual berlangsung selama tiga hari sehingga Rabu. Tiada upacara perasmian oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud hari ini, namun dijadual diadakan pada tarikh lain yang akan ditentukan oleh kerajaan Sarawak.

Lima Rang Undang-Undang (RUU) disenaraikan untuk dibentang pada persidangan kali ini, iaitu RUU Perbekalan Tambahan (2021) 2022; RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022; RUU Tafsiran (Pindaan) 2022; RUU Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipahv 2022 serta RUU Lembaga Industri Getah Sarawak, 2022.

Berita Harian X