Ahad, 13 Februari 2022 | 10:56pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Sarawak cadang tukar nama jawatan Ketua Menteri

KUCHING: Jawatan Ketua Menteri Sarawak dijangka ditukar kepada nama baharu apabila pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan mula bersidang esok.

Pindaan RUU berkenaan akan dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, pada Selasa.

Bacaan kali kedua dan ketiga RUU Perlembagaan Negeri Sarawak itu akan dilakukan pada hari sama.

RUU itu adalah bagi meminda Perkara 6(3) dengan menggantikan perkataan `Ketua Menteri' kepada `Perdana'.

Selain itu, RUU berkenaan juga bertujuan untuk meminda Perkara 7A bagi menukar nama jawatan 'Menteri Muda' kepada 'Timbalan Menteri'.

RUU Perlembagaan Negeri Sarawak itu adalah antara lima RUU yang akan dibentangkan dalam persidangan tiga hari bermula Isnin hingga Rabu iaitu mesyuarat pertama, penggal pertama DUN Sarawak Ke-19 yang diadakan selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12), 18 Disember tahun lalu.

Empat lagi ialah RUU Perbekalan Tambahan (2021) 2022 yang akan dibentangkan oleh Timbalan Ketua Menteri juga Menteri Kewangan Kedua, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

RUU Tafsiran (Pindaan) 2022 pula akan dibentangkan Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Dua lagi RUU akan dibentangkan oleh Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom iaitu RUU Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipahv2022 dan RUU Lembaga Industri Getah Sarawak, 2022.

Berita Harian X