Ahad, 13 Februari 2022 | 3:34pm
Pengunjung ceria menaiki kereta unta ditarik oleh Basheer menyusuri pantai sejauh 300 meter di Pantai Puteri, Tanjung Kling. - Foto NSTP/HASSAN OMAR
Pengunjung ceria menaiki kereta unta ditarik oleh Basheer menyusuri pantai sejauh 300 meter di Pantai Puteri, Tanjung Kling. - Foto NSTP/HASSAN OMAR

Tunggang unta di Pantai Puteri

MELAKA: Pengunjung pantai peranginan Pantai Puteri, Tanjung Kling, di sini, kini boleh merasai pengalaman menaiki kereta unta atau menunggang unta untuk bersiar-siar di sekitar kawasan berkenaan.

Pengalaman menarik itu disediakan Ahmad Bakri Ali, 58, yang menyediakan dua ekor unta jantan berusia 15 tahun dan sembilan tahun, bernama 'Bashar' serta 'Basheer'.

Bashar, yang bersedia untuk ditunggang, dibeli pada harga RM27,000 ketika haiwan itu berusia 13 tahun, manakala Basheer, yang menarik kereta, dibeli pada harga RM20,000 pada usia tujuh tahun.

Kedua-duanya dipelihara di kandang Ahmad Bakri di Sungai Udang, kira-kira 10 kilometer dari Pantai Puteri.

"Saya mengajar Bashar untuk membawa penumpang di atasnya dan Basheer diajar menarik kereta kuda, yang saya ubah suai menjadi kereta unta.

"Setiap penumpang dewasa bagi kereta unta dikenakan bayaran RM10, manakala kanak-kanak RM5. Bagi menunggang Bashar, caj RM10 dikenakan bagi penumpang dewasa dan kanak-kanak," katanya.

Pengunjung dari Negeri Sembilan, Tuan Muhammad Luqman Tuan Man, 47, berkata beliau teruja merasai pengalaman menunggang unta tetapi bimbang dengan faktor ketinggian haiwan itu.

"Saya tidak pernah menunggang unta sebelum ini dan peluang menunggang Bashar hari ini amat mengujakan.

"Anak saya juga seronok dapat menyaksikan unta secara dekat dan menaiki kereta unta menyusuri pantai sejauh kira-kira 300 meter," katanya yang bercadang datang lagi, semata-mata untuk menunggang unta dan menaiki kereta unta.

Berita Harian X