Ahad, 13 Februari 2022 | 3:24pm
SEBUAH lori terbabas dari laluan bertentangan merempuh lima kereta di Kilometer 19 Lebuhraya Pasir Gudang di sini semalam. Gambar ihsan Polis/Bomba/FB.
SEBUAH lori terbabas dari laluan bertentangan merempuh lima kereta di Kilometer 19 Lebuhraya Pasir Gudang di sini semalam. Gambar ihsan Polis/Bomba/FB.

Pemandu lori mabuk rempuh lima kenderaan

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu lori mabuk merempuh lima kenderaan di Kilometer 19 Lebuhraya Pasir Gudang, di sini, semalam dan menyebabkan seorang maut.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, pemandu lori berusia 37 tahun itu yang dalam perjalanan dari arah Pasir Gudang menghala ke Johor Bahru, dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol.

Kenderaan berat lori jenis Scania yang dipandu terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh lima kereta, termasuk Perodua Myvi, Perodua Axia, Perodua Alza, Proton Saja dan Proton Wira.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, berkata kemalangan di percayai berlaku lori itu terbabas dan masuk ke laluan bertentangan serta merempuh kenderaan di laluan itu.

Katanya, akibat kemalangan itu, pemandu Perodua Alza iaitu lelaki berusia 21 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

"Pemandu Perodua Waja, seorang lelaki berusia 46 tahun masih menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI).

"Empat lagi pemandu sudah hadir membuat laporan di Balai Polis Trafik Seri Alam," katanya.

Mohd Sohaimi berkata, polis menahan pemandu lori berkenaan untuk siasatan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Polis memandang serius kejadian berkenaan dan tidak akan berkompromi dengan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak memandu kenderaan ketika di bawah pengaruh alkohol ini kerana ia boleh mengakibatkan kejadian tidak diingini, termasuk hilang kawalan.

Berita Harian X