Ahad, 13 Februari 2022 | 2:31pm
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee ketika ditemui media selepas pelancaran Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) di Pertubuhan Peladang Kawasan C-IV Kangkong, Kota Sarang Semut, Alor Setar hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee ketika ditemui media selepas pelancaran Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) di Pertubuhan Peladang Kawasan C-IV Kangkong, Kota Sarang Semut, Alor Setar hari ini. - Foto BERNAMA

Kerajaan belum putus lanjut subsidi ayam

ALOR SETAR: Kerajaan belum memutuskan untuk melanjutkan pemberian subsidi kepada penternak ayam yang tamat pada Jun depan berikutan masih memantau harga ayam ketika ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata pemberian subsidi yang pertama kali terpaksa dilaksanakan memberi implikasi kewangan lebih RM500 juta kepada kerajaan.

Jelasnya, tujuan pemberian subsidi berkenaan adalah bagi memastikan harga ayam kekal di bawah RM9 sekilogram berbanding harga sebenar pasaran yang sepatutnya mencecah sehingga RM9.90.

"Ketika ini, kita tidak boleh kurangkan harga jagung import jadi kita terpaksa beri subsidi kepada penternak agar harga pasaran ayam dapat dikurangkan bawah RM9, sedangkan harga pasaran sepatutnya lebih daripada itu.

"Tetapi apabila kita bagi subsidi, ia memberi kesan kewangan yang mana kerajaan dijadual membayar lebih setengah bilion ringgit dalam tempoh empat bulan kepada penternak.

"Disebabkan itu, sebarang keputusan melanjutkan subsidi berkenaan akan diputuskan kerajaan kelak kerana ini pertama kali berlaku kita bagi subsidi kepada penternak ayam daging dan ayam telur," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Pelancaran Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) bagi Kawasan Muda.

Yang turut hadir EXCO Pertanian dan Industri Makanan negeri, Azman Nasrudin dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Mengulas lanjut, Ronald berkata bagi mengawal harga ayam pada masa hadapan, kerajaan sedang merangka dasar baharu bagi menggalakkan penanaman jagung secara meluas di negara ini.

"Kita dalam proses mengolah dasar lebih agresif bagi melihat industri penanaman jagung dapat ditingkatkan bertujuan menampung kebergantungan kepada jagung import yang menyebabkan kenaikan harga ayam.

"Sebab itu kita hendak tanam jagung secara komersial bagi dijadikan makanan haiwan ternakan tempatan. Industri penternakan kita bergantung kepada makanan import yang berdasarkan harga pasaran antarabangsa," katanya.

Sebelum ini, kenaikan harga jagung import yang menjadi bahan makanan utama ternakan ayam menjadi antara punca kenaikan harga ayam di pasaran tempatan, sekali gus membebankan pengguna.

Berita Harian X