Ahad, 13 Februari 2022 | 1:01pm

PKR, MUDA muktamad agihan kerusi hari ini

JOHOR BAHRU: Agihan kerusi antara PKR dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan dimuktamadkan hari ini.

Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata agihan kerusi antara PKR dan MUDA memasuki fasa terakhir sebelum dimuktamadkan menjelang petang ini.

Beliau berkata PKR dan MUDA hampir menemui titik persetujuan berhubung agihan tiga kerusi yang akan ditandingi MUDA pada PRN Johor nanti.

"Kita akan muktamadkan petang ini secara rasmi.

"Ia berikutan esok akan diadakan pelancaran jentera antara PKR, Pakatan Harapan (PH) membabitkan Parti Amanah Negara (AMANAH) dan MUDA pada jam 2 petang.

"Ketua parti membabitkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, dijangka hadir pada pelancaran jentera sekali gus memaklumkan kerjasama rasmi antara PKR, PH dan MUDA pada PRN Johor," katanya ketika dihubungi.

Perkembangan itu sekali gus mengesahkan MUDA akan bertanding sekurang-kurangnya sembilan kerusi pada PRN Johor.

Rabu lalu, PKR Johor dilaporkan menawarkan Ikatan MUDA tiga kerusi kepada parti itu bagi menghadapi PRN Johor, 12 Mac nanti.

Syed Ibrahim dilaporkan berkata, parti itu menanti maklum balas MUDA berhubung tawaran tiga kerusi berkenaan.

Dalam pada itu, MUDA dilaporkan diperuntukkan enam kerusi, hasil rundingan bersama antara parti itu, AMANAH dan DAP Johor.

Dalam kenyataan bersama antara AMANAH, DAP dan MUDA, Rabu lalu, keputusan itu berjaya dicapai selepas beberapa siri rundingan untuk pengagihan kerusi bagi menghadapi PRN Johor.

Kesepakatan antara tiga parti membawa keputusan muktamad MUDA diperuntukkan enam kerusi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

Berita Harian X