Sabtu, 12 Februari 2022 | 7:59pm
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh meninjau aktiviti jualan beras sempena Jualan Keluarga Malaysia Peringkat Parlimen Pasir Puteh. - Foto Nor Amalina Alias
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh meninjau aktiviti jualan beras sempena Jualan Keluarga Malaysia Peringkat Parlimen Pasir Puteh. - Foto Nor Amalina Alias

Pelabuhan Tok Bali jadi hab halal 2025

PASIR PUTEH: Pelabuhan Tok Bali berpotensi menjadi lokasi hab halal sumber makanan di kawasan rantau Asia pada masa hadapan menjelang 2025.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pelabuhan itu akan menjadi lokasi eksport produk hiliran tempatan berasaskan perikanan yang menjadi nadi kawasan itu.

Beliau berkata, eksport itu termasuk produk yang dihasilkan agensi kerajaan yang menekankan konsep halalan toyyiban.

Katanya, melalui Pelabuhan Tok Bali, segala produk halal akan di eksport ke negara luar kerana berada di laluan laut yang cukup strategik dengan beberapa negara lain.

"Rakyat juga tidak perlu bimbang apabila produk yang diimport dari negara China misalnya, ia akan singgah di pelabuhan Tok Bali terlebih dahulu untuk memastikan produk tersebut adalah halal.

"Kita yakin pelabuhan ini akan menjadi pusat perdagangan yang terkemuka suatu hari nanti

"Kita sudah bina kilang air batu terbesar bernilai RM9juta dan dalam perbincangan untuk bina kilang sardin.

"Produk berkaitan ikan, kita akan proses di sini (Tok Bali) jadi secara tidak langsung menjadikan Tok Bali hab produk halal," katanya ketika ditemui dalam majlis Jualan Keluarga Malaysia Peringkat Parlimen Pasir Puteh, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kedudukan pelabuhan Tok Bali antara yang paling strategik, menjadi laluan eksport ke China dan Taiwan.

Katanya, pengangkutan ke Singapura atau negeri-negeri semenanjung turut melalui Tok Bali selain aktiviti import barangan seperti daging, ayam daripada China dan Thailand.

"Pengusaha-pengusaha laut dalam juga tidak akan membawa hasil mereka ke lain seperti yang kita maklum sebelum ini ke negara jiran.

"Kita tak boleh salahkan mereka sebab kekurangan insfrastruktur di sini, tapi bila dah dilengkapi fasiliti nanti, mereka akan labuhkan hasil ikan dan proses terus di sini," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh berkata, ini bertepatan dengan projek kementerian itu bagi membangunkan industri ikan tuna dalam negara.

Terdahulu, Nik Zawawi menyaksikan jualan langsung lebih 30 barangan asas seperti gula, tepung gandum, beras, minyak masak, sardin, kicap,ikan dan sayuran yang dijual lebih murah berbanding harga pasaran.

Beliau berkata, jualan langsung itu antara inisiatif kerajaan bagi meringan kos sara hidup rakyat yang semakin tinggi.

Berita Harian X