Sabtu, 12 Februari 2022 | 5:40pm
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar melihat buku profil 100 koperasi terbaik di Malaysia selepas merasmikan Sambutan 100 Tahun Koperasi, di ibu kota. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar melihat buku profil 100 koperasi terbaik di Malaysia selepas merasmikan Sambutan 100 Tahun Koperasi, di ibu kota. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS

CEO, Pengerusi koperasi tak boleh orang sama

KUALA LUMPUR: Kabinet bersetuju untuk mengasingkan individu yang memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengerusi koperasi, bagi memastikan gerakan itu terus berdaya maju dan membantu pembangunan sosioekonomi negara.

Peruntukan baharu itu adalah pindaan yang dibuat pada Akta Koperasi 1993 (Pindaan 2007), yang akan dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Parlimen, bulan depan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar, berkata pindaan itu adalah penambahbaikan yang akan dilaksanakan dalam sistem perundangan dan tadbir urus koperasi, supaya ia seiring dengan dengan perkembangan dan keperluan semasa.

"Ketika ini, orang yang sama memegang kedua-dua jawatan dalam sesebuah koperasi.

"Kabinet sudah luluskan untuk kita asingkan jawatan ini, CEO orang lain, pengerusi orang lain. Kita akan bentangkan pindaan ini di Parlimen, Mac nanti," katanya pada Majlis Pelancaran Sambutan 100 Tahun Koperasi - '100 Tahun Gerakan Koperasi, Membangun Keluarga Malaysia', di sini, hari ini,

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Muslimin Yahya; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Zazali Haron serta Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Selain itu, Noh berkata, keupayaan dan kapasiti agensi berkaitan koperasi khususnya SKM dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) juga akan diperkasakan untuk menggalakkan pembangunan gerakan koperasi.

"Kesepakatan dan penyelarasan fungsi serta peranan antara SKM, IKMa dan ANGKASA akan dipertingkatkan bagi membangunkan gerakan koperasi yang lebih dinamik dan berdaya saing bagi mencapai matlamat seiring saranan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 dan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKom)," katanya.

Dalam membantu menangani kos sara hidup rakyat, Noh berkata, kerajaan akan melaksanakan Program Pembangunan Sektor Pemborongan dan Peruncitan Koperasi (COOP Strategic Linkages).

Katanya, program itu dapat membantu mengurangkan harga barangan runcit serta jurang antara pembekal, pengeluar dan pengguna, dengan mengurangkan pembabitan orang tengah.

Di bawah program itu, beliau berkata, kementerian akan menjenamakan semula kedai koperasi kepada Coopmart supaya lebih menarik. Kerajaan menyasarkan untuk menubuhkan lebih 500 Coopmart di seluruh negara, yang akan diusahakan oleh pelbagai koperasi terutamanya di kawasan luar bandar dan kawasan yang majoriti penduduknya adalah kumpulan B40.

Selain itu, kementerian akan membangunkan Program Pembangunan Produk Koperasi (D'PROKOP) dalam usaha membangunkan produk koperasi yang lebih berdaya saing dan dapat menembusi pasaran antarabangsa.

Berita Harian X