Sabtu, 12 Februari 2022 | 5:40pm
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

KPM mohon sekolah menengah tidak dijadikan pusat pengundian PRN Johor

JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan (KPM) memohon Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak menjadikan sekolah menengah di Johor yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai pusat pengundian.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pihaknya akan menulis surat rasmi kepada SPR bagi tujuan itu demi memastikan tidak wujud gangguan berikutan pelaksanaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam tempoh kempen PRN yang bermula 26 Februari ini sehingga hari pengundin pada 12 Mac.

"Pelajar dan guru sekolah menengah bakal terbabit dalam peperiksaan SPM dan mereka telah melalui waktu yang sukar sebelum ini. Hal ini melibatkan masa depan anak-anak berkenaan dan kementerian tidak mahu ada sebarang gangguan terhadap mereka.

"Kalau sekolah rendah tidak mengapa, berapa banyak sekolah rendah, nak guna berapa lama, tidak mengapa, tetapi sekolah menengah, kita harap dapat memastikan pelaksanaan SPM berjalan dengan baik," katanya pada sidang media selepas sesi libat urus bersama warga pendidik serta Persatuan Ibu dan Bapa (PIBG) Johor Bahru, di sini hari ini.

Radzi berkata, KPM sedar ada banyak rungutan daripada guru apabila sekolah menengah digunakan sebagai pusat pengundian pada pilihan raya.

"Kita sedar banyak rungutan daripada guru-guru apabila sekolah menengah digunakan sebagai pusat pengundian, bermakna segala proses perlu dibuat semula (selepas pilihan raya) seperti susunan meja dan sekarang, kita menggunakan sistem baharu, menggunakan kod bar, susunan, indeks dan sebagainya," katanya.

Katanya, sebahagian besar bilik-bilik di sekolah menengah digunakan untuk tujuan pengurusan atau pelaksanaan peperiksaan SPM, termasuklah bilik isolasi, bilik kuarantin dan sebagainya.

"Kalau dahulu jarak (kedudukan antara calon SPM) satu meter, sekarang ini jaraknya 1.5 meter. Pada masa yang sama juga, kita ada banyak bilik bilik lain, kita ada bilik khas, bilik alternatif kalau berlaku kes (jangkitan COVID-19), tiba-tiba dapat tahu, apa nak buat?.

"Kita perlu ingat dalam konteks peperiksaan ini, sudah tak macam dahulu. Prosedur kita cukup lengkap, sebab itu kita mohon supaya kalau boleh sebaik-baiknya, minta jasa baik (SPR) supaya tidak digunakan sekolah menengah sebagai pusat pengundian," katanya.

Berita Harian X