Sabtu, 12 Februari 2022 | 12:37pm
(Gambar fail) Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh.
(Gambar fail) Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh.

Tiada pesakit kritikal COVID-19 di hospital swasta

KUALA LUMPUR: Tiada kemasukan pesakit kritikal COVID-19 dalam Kategori Empat dan Lima ke hospital swasta di negara ini sejak dua hingga tiga bulan lalu, walaupun penularan virus itu melonjak dengan angka harian melepasi lebih 20,000 kes, semalam.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh, berkata ia jauh berbeza dengan keadaan kes teruk ketika angka harian juga melepasi 20,000 jangkitan pada Ogos tahun lalu.

Ketika itu, beliau berkata, wad COVID-19 meliputi Unit Rawatan Rapi (ICU) di hampir semua hospital swasta, terutama di Lembah Klang, dipenuhi pesakit.

Malah, katanya, keadaan itu menyebabkan pesakit yang bersedia untuk menampung sepenuhnya kos rawatan di hospital swasta, terpaksa ditolak dan dipindahkan ke kemudahan kerajaan yang juga telah mencecah kapasiti maksimum.

Beliau berkata, ia berbanding situasi sekarang yang membabitkan kemasukan pesakit COVID-19 dalam Kategori Satu dan Dua ke hospital swasta.

"Kebanyakannya adalah atas permintaan pesakit untuk menjalani pengasingan di hospital swasta, dengan semuanya menggunakan pembiayaan sendiri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Kuljit berkata, keterukan kesan jangkitan varian Omicron berkemungkinan lebih ringan walaupun kadar kebolehjangkitannya adalah tinggi.

Selain itu, beliau berkata, peratusan tinggi populasi sudah lengkap imunisasi berserta mereka yang menerima dos penggalak vaksin COVID-19, terbukti dapat membantu mengurangkan keterukan kesan jangkitan penyakit itu.

Bagaimanapun, katanya, adalah penting untuk orang ramai terus berhati-hati dan melakukan pemantauan kendiri, di samping tidak panik.

Ketika ini, beliau berkata, banyak negara sedang menuju untuk memasuki fasa endemik dan Malaysia juga harus membuat persediaan ke arah itu berikutan kemudahan penjagaan kesihatan dijangka tidak terbeban.

Katanya, bilangan katil di hospital swasta dianggarkan berjumlah 16,500, dengan terdapat pelbagai peratusan katil disediakan bagi membantu kerajaan pada bila-bila masa diperlukan untuk menerima pesakit, termasuk bukan COVID-19, berdasarkan kapasiti serta keupayaan hospital masing-masing.

"Hospital swasta sentiasa dibabitkan Kementerian Kesihatan berhubung soal kesiapsiagaan itu dalam Pasukan Petugas Bertindak Pantas (RRTF) COVID-19 Kebangsaan," katanya.

Berita Harian X