Jumaat, 11 Februari 2022 | 4:01pm
Mohamad Ali hadir di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, Melaka, hari ini. - FOTO BERNAMA
Mohamad Ali hadir di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, Melaka, hari ini. - FOTO BERNAMA

Mahkamah tolak bantahan awal SPR, 2 lagi defendan

MELAKA: Mahkamah Pilihan Raya di sini, hari ini, menolak bantahan awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan dua lagi terhadap petisyen pilihan raya difailkan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan kes itu wajar dibicarakan demi kepentingan awam.

Peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Mohamad Ali, memberitahu pemberita bahawa mahkamah menetapkan 24 Mac hingga 31 April depan untuk mendengar petisyen pilihan raya itu.

"Sebagai pempetisyen, pihak kami menyediakan lebih 30 saksi. Responden kedua dan ketiga pula akan membawa lima saksi, manakala tiga saksi daripada responden pertama," katanya selepas prosiding itu di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, di sini.

Pada 14 Disember tahun lalu, Mohamad Ali, 57, memfailkan petisyen itu bagi membatalkan kemenangan Dr Mohd Aleef Yusof, 35, atas dakwaan terdapat unsur rasuah pada PRN membabitkan kawasan itu.

Beliau menamakan Dr Mohd Aleef yang menang dengan majoriti 530 undi dalam pertembungan empat penjuru, Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Sungai Udang, dan SPR sebagai responden pertama hingga ketiga.

Ketiga-tiga responden kemudian mengemukakan bantahan awal terhadap petisyen pilihan raya itu.

Dalam petisyennya, Mohamad Ali yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, memohon perintah mahkamah supaya kemenangan Dr Mohd Aleef itu dibatalkan dan pilihan raya kecil diadakan di kerusi DUN Sungai Udang.

Petisyen itu difailkan atas beberapa alasan, termasuk dakwaan wujud unsur rasuah dan pelanggaran Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. – BERNAMA

Berita Harian X