Rabu, 9 Februari 2022 | 5:37pm
Seramai 400 pelajar universiti awam menamatkan kursus profesional mutawwif yang membimbing jemaah menunaikan haji dan umrah dalam gambar fail pada 6 September 2019.
Seramai 400 pelajar universiti awam menamatkan kursus profesional mutawwif yang membimbing jemaah menunaikan haji dan umrah dalam gambar fail pada 6 September 2019.

'Mutawwif perlu berpengalaman, faham semua selok belok'

KUALA LUMPUR: Kalangan syarikat pengendali pakej umrah berpendapat arahan penyediaan seorang kakitangan untuk ambil tanggungjawab penuh memantau perjalanan umrah akan memastikan aspek pematuhan dalam kalangan jemaah dapat dipertingkat sekali gus mengekang penularan COVID-19.

Arahan itu adalah antara yang terkandung dalam prosedur operasi standard (SOP) yang akan berkuat kuasa 14 Februari, menggariskan peranan perlu digalas person incharge (PIC) atau individu bertanggungjawab daripada ejen pelancongan.

Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Harun K C Ahmmu, berkata arahan itu wajar bagi memastikan setiap individu tidak mengambil ringan SOP ketika berada di Tanah Suci dan apabila pulang ke tanah air.

"Jika ada jemaah yang ambil ringan terhadap SOP COVID-19, sekurang-kurangnya ada pegawai yang menegur, menasihati dan melakukan pemantauan supaya semua jemaah dapat mengerjakan umrah dan balik dengan selamat tanpa membawa penyakit dari sana," katanya kepada BH.

Harun berkata, sebelum ini ada segelintir syarikat umrah yang menggunakan pendekatan berbeza iaitu kakitangan yang menyelia jemaah di tanah air dan di Arab Saudi adalah individu berlainan.

"Jadi, apabila SOP baru ini diwajibkan, jemaah umrah perlu memastikan individu sama memantau dari awal hingga selesai, apatah lagi jika berlaku keadaan ketika ada jemaah dijangkiti COVID-19 dan membabitkan kematian. Merekalah yang berperanan menghubungkan dengan muassasah di Arab Saudi dan konsul Malaysia di sana untuk mendapatkan perhatian sewajarnya daripada Kementerian Kesihatan Arab Saudi," katanya.

Mengulas kewajipan jemaah untuk mendapat suntikan dos penggalak, Harun berkata, perkara itu perlu dibincangkan lagi dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)dan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan mengambil kira Kerajaan Arab Saudi tidak menjadikan ia prasyarat kepada jemaah umrah luar negara.

Pengerusi PAPUH, Datuk Seri Razali Mohd Sham. - Foto fail NSTP
Pengerusi PAPUH, Datuk Seri Razali Mohd Sham. - Foto fail NSTP

Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata agensi umrah dinasihatkan untuk melantik ketua rombongan atau mutawwif yang berpengalaman dan berpengetahuan bagi memastikan semua urusan termasuk aspek kesihatan jemaah dapat diselenggara dengan baik.

"Ada agensi umrah yang ambil ketua rombongan ini dalam kalangan yang jemaah mereka yang berulang kali pergi. Dalam situasi sekarang, ia mungkin tidak sesuai kerana tugas mereka sekarang bukan sahaja pastikan keselamatan setiap jemaah terjamin tetapi menjalankan pemantauan supaya tidak berlaku penularan dan pematuhan kepada SOP setiap masa," katanya.

Jelasnya, khidmat ketua rombongan sudah dipraktikkan sejak sekian lama dalam kalangan agensi umrah berdaftar, dengan kebiasaannya individu yang mengerjakan umrah secara sendiri atau DIY yang tidak dipantau oleh pegawai dilantik.

Beliau turut berharap ketua rombongan atau mutawwif yang bertugas supaya lebih tegas dalam menjalankan tugas, manakala jemaah dinasihatkan supaya patuh kepada setiap arahan yang diberikan seperti melakukan saringan COVID-19 mengikut jangka masa ditetapkan.

Berita Harian X