X
Rabu, 9 Februari 2022 | 3:45pm

'Anggap dos primer memadai punca tak ambil dos penggalak'

PUTRAJAYA: Persepsi dua dos vaksin yang diambil mencukupi untuk melindungi diri daripada jangkitan COVID-19 berkemungkinan menjadi punca ramai penduduk di negara ini tidak mengambil dos penggalak.

Pada masa sama, ketidakselesaan dialami selepas pengambilan dos vaksin sebelum ini juga mungkin antara punca ramai yang bersikap berhati-hati sebelum membuat keputusan mendapatkan dos penggalak.

Pakar epidemiologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, berkata sebahagian besar perkongsian mengenai kesan advers selepas pengambilan dos penggalak membabitkan data yang tidak dapat disahkan, justeru sepatutnya tidak diterima oleh masyarakat.

"Dalam era media sosial, serangan maklumat palsu tidak dapat dielak tetapi saya dapati nasihat daripada petugas kesihatan yang memberi vaksin sudah berkurangan berbanding ketika pemberian dos primer dahulu.

"Ini turut menyumbang kepada keadaan berkaitan kesan advers susulan imunisasi (AEFI).

"Oleh kerana tiada nasihat diberi, ramai yang tidak tahu mereka tidak boleh buat aktiviti berat selama dua minggu sebaik mendapat dos penggalak," katanya kepada BH, hari ini.

Dr Malina berkata, banyak klinik dikatakan tidak memberi penerangan kepada individu yang menerima suntikan, berbeza ketika pemberian dos primer di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sebelum ini sedangkan masyarakat perlu disantuni sebaik-baiknya.

Mengenai kebimbangan orang ramai termasuk yang mendakwa ibu bapa mereka mengalami kesan advers selepas mengambil dos penggalak hingga terlantar di hospital, Dr Malina berkata, perlu ada data dan pengesahan masalah sebenar dialami pesakit, seperti pengabaian penjagaan kesihatan.

"Kemungkinan itu ada dan kita tak dapat elak sebab situasi hari ini amat dipengaruhi oleh persepsi dan sentimen mereka yang berasa diperlakukan secara tidak adil," katanya.

Sementara itu, Pensyarah di Kluster Infektomik, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Kumitaa Theva Das, berkata mesej perlu disampaikan dalam cara mudah difahami iaitu dos penggalak perlu diambil untuk terus selamat.

"Orang ramai perlu memahami virus COVID-19 terus bermutasi, maka selari perkembangan sains dan perubatan, kita perlu sentiasa mengambil tindakan terkini bagi memastikan diri dilindungi.

"Pada awal pandemik, virus ini sukar tersebar dan kurang agresif. Apabila pakar membuat kajian keberkesanan vaksin terhadap varian terutama Omicron, mereka mendapati dua dos utama tidak lagi memberi perlindungan tahap 95 peratus, malah berkurangan.

"Perlindungan menyusut selepas beberapa bulan, maka pengambilan dos penggalak bertujuan meningkatkan semula perisai itu," katanya.

Beliau berkata, ujian awal vaksin COVID-19 terhadap strain virus pertama dilakukan di pelbagai negara dan kumpulan masyarakat untuk memastikan ia selamat.

Bagaimanapun, Dr Kumitaa berkata, apabila virus itu bermutasi, pakar mendapati vaksin keluaran AstraZeneca dan Pfizer-BioNTech lebih berkesan terhadap varian baharu terutama Delta dan Omicron.

"Jika ada kegusaran ketika mengambil dos penggalak, tanya doktor atau jururawat di PPV mengenai apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan selepas disuntik," katanya.

Warga emas, Mohamad Ariffin Abu Bakar, 81 mendapatkan suntikan dos penggalak dengan ditemani isterinya di PPV Axiata Arena Bukit Jalil. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Warga emas, Mohamad Ariffin Abu Bakar, 81 mendapatkan suntikan dos penggalak dengan ditemani isterinya di PPV Axiata Arena Bukit Jalil. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Berita Harian X