Rabu, 9 Februari 2022 | 3:33pm

PRN Johor: Mohon undi pos sehingga 18 Februari

JOHOR BAHRU: Permohonan undi pos luar negara dan dalam negara bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, mula dibuka hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata permohonan untuk mengundi secara pos itu dilaksanakan secara dalam talian menerusi https://myspr.spr.gov.my.

"Bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara bagi untuk pengundi kategori Borang 1B (warga Malaysia yang berada di luar negara) dan kategori 1C (sembilan agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan) dibuka mulai hari ini sehingga 18 Februari.

"Untuk kategori Borang 1A (Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR, Anggota Polis, Anggota Tentera dan petugas media) pula dibuka mulai hari ini sehingga 24 Februari nanti

"Pemohon dinasihatkan memohon lebih awal apabila tarikh permohonan dibuka bagi mengelakkan berlakunya sebarang kesulitan," katanya.

Terdahulu SPR dilaporkan menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari dan tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.

Pada 2 Februari lalu, pengundi Johor yang bekerja di Singapura dilaporkan boleh memohon untuk menjadi pengundi pos pada PRN.

Abdul Ghani dilaporkan berkata, pengundi berkenaan boleh mengemukakan permohonan dalam tempoh yang akan dimaklumkan SPR selepas mesyuarat khas berhubung PRN berkenaan hari ini.

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan
Berita Harian X