X
Rabu, 9 Februari 2022 | 1:48pm

Kos PRN Johor RM96 juta

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menganggarkan kos mengendalikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mencecah RM96 juta.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata seramai 49,290 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRN membabitkan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Secara keseluruhannya jumlah pusat mengundi sebanyak 1,084 buah dengan 4,720 saluran.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 1,021 pusat mengundi yang mempunyai 4,638 saluran akan digunakan bagi undi biasa, manakala 63 pusat mempunyai 82 saluran turut akan digunakan bagi undi awal.

"Sebanyak 56 pusat penamaan calon dan 56 pusat penjumlahan rasmi undi turut akan digunakan," katanya.

SPR menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian PRN Johor.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari dan tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.

Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata, SPR turut melantik 58 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu 186 Penolong Pegawai Pengurus.

"Bagi memantau semua aktiviti sepanjang tempoh berkempen, SPR juga menubuhkan 56 pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya yang dianggotai wakil daripada polis, pihak berkuasa tempatan ( PBT) dan wakil calon," katanya.

Dalam hal berkaitan, Abdul Ghani berkata, SPR menyasarkan 70 peratus daripada 2.597 juta pengundi layak mengundi di negeri ini akan keluar mengundi pada PRN Johor nanti.

Katanya, SPR memohon kerjasama semua pihak termasuk parti politik supaya mengambil langkah menyeru dan menggalakkan pengundi keluar mengundi.

"Bagi menggalakkan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka, SPR akan melaksanakan kempen 'Jom Kita Undi' melalui pelbagai saluran dan platform.

"Satu prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 bagi pelaksanaan PRN Johor sedang dikemaskini SPR, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara ( MKN).

"SOP ini akan dimaklumkan selepas ia dimuktamadkan," katanya.

Berita berkaitan:

  • PRN Johor: 2.59 juta pengundi layak tunai tanggungjawab
  • PRN Johor 12 Mac
  • Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh (tengah) pada sidang media khas SPR mengenai butiran PRN Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PERSADA) Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
    Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh (tengah) pada sidang media khas SPR mengenai butiran PRN Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PERSADA) Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
    Berita Harian X