Rabu, 9 Februari 2022 | 9:00am
- Hiasan
- Hiasan

Jangan lakukan pembakaran terbuka - JAS

KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan tidak melakukan pembakaran terbuka pada waktu cuaca panas dan kering ketika ini berikutan negara sedang mengalami fasa kedua Monsun Timur Laut sehingga pertengahan Mac ini.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, berkata dalam tempoh itu, taburan hujan di seluruh negara akan mengalami pengurangan dan menyebabkan keadaan cuaca panas serta kering di Semenanjung.

"Sewaktu tempoh cuaca panas dan kering ini, peningkatan pembakaran terbuka terutama di kawasan mudah atau sering terbakar seperti di kawasan tanah gambut serta tapak pelupusan sampah dikhuatiri berlaku.

"Ini termasuk peningkatan kes dan aduan pembakaran terbuka di tapak pembuangan sampah haram, kawasan perumahan atau kejiranan," katanya dalam satu kenyataan JAS, semalam.

Wan Abdul Latiff berkata, tindakan penguatkuasaan lebih tegas akan diambil pihak mewujudkan tapak pelupusan sampah haram bagi menangani isu pembakaran terbuka serta pencemaran udara.

"Mereka yang disabit kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 29 (A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, termasuk kompaun sehingga RM2,000 bagi setiap kesalahan," katanya.

Beliau berkata, orang ramai diminta melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di talian 999 dan JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau melalui e Aduan JAS di laman sesawang https://eaduan.doe.gov.my.

Berita Harian X