Selasa, 8 Februari 2022 | 8:00am

COVID-19: Satu lagi kluster institusi pendidikan di Sabah

KOTA KINABALU: Satu lagi kluster baharu COVID-19 berkaitan institusi pendidikan dilaporkan di negeri ini, semalam, membabitkan pelajar asrama Maktab Sabah, Sembulan, di sini.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata Kluster Jalan Pintas Sembulan itu sudah menjangkiti 18 pelajar asrama sekolah menengah berkenaan, setakat ini.

Beliau berkata, kluster itu tercetus selepas kes indeks membabitkan seorang pelajar perempuan berumur 15 tahun, dikesan positif COVID-19 melalui saringan bergejala pada 3 Februari lalu.

"Pelajar itu mula bergejala pada 3 Februari 2022 sebelum menjalani ujian RT-PCR pada hari sama dan didapati positif.

"Kes indeks itu telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC)," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Masidi berkata, seramai 79 kontak rapat turut disaring dengan 17 pelajar lagi didapati positif, menjadikan jumlah kumulatif kes dalam Kluster Jalan Pintas Sembulan sudah mencecah 18 orang.

Bagaimanapun, katanya, semua kes positif terbabit berada dalam kategori bergejala ringan, iaitu Kategori 2, dan telah dihantar ke pusat kuarantin serta menerima rawatan lanjut.

Selain itu, satu lagi kluster berkaitan tempat kerja turut dilaporkan di Sabah, semalam, dikenali sebagai Kluster Giram di daerah Kunak yang membabitkan seorang lelaki warganegara berusia 37 tahun.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri memaklumkan, lelaki bekerja di Ladang Giram itu bergejala selesema dan batuk pada 31 Januari lalu sebelum menjalani saringan di klinik swasta pada hari sama dan didapati positif COVID-19.

"Saringan terhadap kontak sekerja dan keluarga mengesan 19 lagi kes positif.

"Hingga kini, kluster ini mencatat jumlah kumulatif 20 kes dengan tiga jangkitan baharu dilaporkan, hari ini (semalam)," katanya.

Dalam pada itu, Sabah merekodkan sebanyak 1,600 jangkitan baharu COVID-19, semalam, meningkat berbanding 1,285 kes kelmarin.

Namun, tiada korban baharu COVID-19 dilaporkan, manakala 418 pesakit dilaporkan sembuh.

Ketika ini, Masidi berkata, 24 pesakit memerlukan penjagaan kritikal, manakala 29 pesakit yang belum lengkap vaksinasi berada dalam Kategori 4 dan Kategori 5 jangkitan COVID-19.

Hampir semua daerah di Sabah mencatat peningkatan kes COVID-19, semalam, yang menyaksikan Kota Kinabalu mendahului dengan 371 jangkitan baharu, diikuti Sandakan (322), Tuaran (150) dan Penampang (138).

Berita Harian X