Isnin, 7 Februari 2022 | 8:19pm

KKM belum terima laporan AEFI penerima vaksin kanak-kanak

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) masih belum menerima sebarang laporan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) selepas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) dimulakan pada Jumaat minggu lalu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ketika ini KKM menerima 74 laporan kesan advers serius dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun yang sudah menerima vaksin.

Beliau berkata, KKM sudah memberikan 5.6 juta dos vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun sejak program imunisasi untuk golongan itu dimulakan.

"Untuk pemberian remaja berusia 12 hingga 17 tahun, kita telah berjaya memberikan 5.6 juta dos vaksin. Daripadajumlah pemberian itu, kesan advers serius adalah 74 iaitu 0.013 bagi setiap 1,000 dos...sangat rendah.

"Semua kes itu sudah pulih. Untuk kanak-kanak, kita telah beri hampir 18,000 dos dan pelaporan AEFI sehingga sekarang masih kosong.

"Mungkin akan ada tetapi setakat ini tidak ada lagi," katanya pada sidang media di KKM, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Khairy berkata, secara keseluruhan, Sistem Pelaporan AEFI Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menerima sejumlah 24,788 laporan AEFI termasuk 1,004 laporan yang membabitkan dos penggalak vaksin COVID-19.

Beliau berkata, kadar pelaporan AEFI bagi dos penggalak direkodkan pada 84 bagi setiap 1 juta dos berbanding kadar pelaporan AEFI keseluruhan 390 setiap 1 juta dos.

Katanya, kadar pelaporan AEFI bagi dos penggalak adalah jauh lebih rendah iaitu empat kali lebih rendah berbanding kadar

keseluruhan.

"Demam, kesakitan pada tempat suntikan, sakit kepala dan keletihan, adalah antara kesan advers yang paling kerap dilaporkan oleh penerima vaksin.

"Daripada jumlah laporan AEFI yang diterima bagi dos penggalak ini, 64 laporan diklasifikasikan sebagai serius bersamaan kadar 5 laporan bagi setiap 1 juta dos.

"Ia juga adalah lebih rendah berbanding laporan AEFI serius yang diterima bagi keseluruhan, iaitu pada kadar 27 laporan bagi setiap 1 juta dos," katanya.

Kementerian Kesihatan (KKM) sudah memberikan 5.6 juta dos vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun sejak program imunisasi untuk golongan itu dimulakan. - Foto hiasan Bernama
Kementerian Kesihatan (KKM) sudah memberikan 5.6 juta dos vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun sejak program imunisasi untuk golongan itu dimulakan. - Foto hiasan Bernama
Berita Harian X