Isnin, 7 Februari 2022 | 5:20pm
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) meminta jurutera mengendalikan projek Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus), dekat sini untuk mengemukakan penjelasan secara terperinci berhubung insiden air bertakung di bahagian hujung jejantas itu semasa hujan, dua hari lalu. - Foto tular

Jurutera diarah beri penjelasan

GEORGETOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) meminta jurutera mengendalikan projek Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Jalan Bukit Kukus), dekat sini untuk mengemukakan penjelasan secara terperinci berhubung insiden air bertakung di bahagian hujung jejantas itu semasa hujan, dua hari lalu.

MBPP dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya turut mempelawa pakar-pakar dari The Institution of Engineers, Malaysia (IEM) cawangan Pulau Pinang untuk bekerjasama dengan jurutera MBPP bagi mengenal pasti punca utama kejadian serta menyumbang nasihat, terutamanya dari aspek teknikal bagi menangani insiden itu.

"Siasatan awal menunjukkan takungan berlaku disebabkan sampah sarap yang banyak dan daun-daun kering yang menghalang laluan air mengalir ke sistem perparitan sedia ada.

"MBPP berasa kesal dengan kejadian yang berlaku kerana insiden sedemikian tidak sepatutnya berlaku dan jurutera yang terlibat dalam projek itu telah diminta untuk mengemukakan penjelasan terperinci berhubung kejadian berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Jalan Bukit Kukus) Pulau Pinang di sini, hari ini. Laluan dengan ketinggian 60 meter berkenaan menjadi lebuh raya yang paling tinggi di Malaysia, diikuti jambatan Lebuhraya Rawang-Serendah atau Rawang Bypass dengan ketinggian 58.2 meter. - Foto fail NSTP/Mikail Ong

Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) yang dikenali sebagai jalan berkembar tertinggi di Malaysia itu ditakungi air selepas hujan lebat dalam kejadian berkenaan dan video berdurasi 10 saat mengenai kejadian itu yang tular di laman sosial, membangkitkan kecaman ramai.

Sementara itu MBPP berkata tindakan tegas akan diambil ke atas orang ramai yang memberhentikan kenderaan mereka di bahu jalan dan yang membuang sampah di merata-rata tempat di sepanjang jalan berkembar di Bukit Kukus itu.

– BERNAMA

Berita Harian X