Isnin, 7 Februari 2022 | 2:59pm
Mohd Na’im (kiri) dan Lokman. FOTO NSTP
Mohd Na’im (kiri) dan Lokman. FOTO NSTP

Mahkamah lanjut injunksi halang Lokman siar kenyataan fitnah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini melanjutkan perintah injunksi yang diperoleh Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar supaya Datuk Lokman Noor Adam memadamkan hantaran dan kenyataan dimuat naik di media sosial didakwa memfitnahnya berhubung dakwaan gangguan seksual.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Rozana Ali Yusoff melanjutkan perintah injunksi sebelah pihak sehingga injunksi inter-parte kedua belah pihak didengar pada 22 Mac ini.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Mohd Na'im berkata, Lokman selaku defendan memadamkan kesemua kenyataan dan hantaran itu dalam tempoh 24 jam seperti diperintahkan mahkamah tinggi pada 20 Januari lalu selepas membenarkan permohonan injunksi ex-parte yang dipohon pihaknya.

Beliau berkata, dalam prosiding melalui aplikasi Zoom hari ini, pendengaran injunksi inter-parte ditangguhkan selepas Lokman melalui peguamnya memohon masa untuk memfailkan afidavit jawapan terhadap permohonan injunksi itu.

Katanya, mahkamah memerintahkan Lokman memfailkan afidavit jawapan itu pada atau sebelum 11 Februari ini.

Pada 20 Januari lalu, Rozana membenarkan permohonan injunksi sebelah pihak dengan memerintahkan Lokman (defendan) memadamkan kesemua hantaran dan kenyataan dalam tempoh 24 jam daripada tarikh perintah itu diserahkan kepadanya.

Kenyataan yang didakwa Mohd Na'im (plaintif) memfitnahnya itu dimuat naik melalui dua hantaran di YouTube dan empat hantaran termasuk dua hantaran video di laman Facebook berhubung gangguan seksual.

Pada 17 Januari lalu, Mohd Na'im yang juga Ketua Pengarah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia memfailkan saman terhadap Lokman dengan mendakwa defendan memfitnahnya melalui dua siaran langsung di Facebook 'Lokman Noor Adam Official' pada 10 Januari dan 13 Januari lalu.

Beliau yang memfailkan saman atas kapasiti peribadi, mendakwa Lokman juga memuat naik siaran langsung itu di Youtube milik defendan pada 10 Januari dan 14 Januari lalu, selain memuat naik tiga hantaran fitnah di Facebook pada 11 Januari dan 13 Januari lalu.

Menurut plaintif, kenyataan fitnah itu bermaksud antaranya beliau seorang penunggang agama dan gagal menjadi pemimpin yang berwibawa dengan akhlak yang terpuji serta mencemarkan imej dan institusi Jabatan Kehakiman Syariah.

Plaintif turut membuat laporan polis pada 12 Disember tahun lalu untuk menafikan dakwaan dan tuduhan palsu seorang wanita bergelar Datin dan membuat laporan polis terhadap Lokman supaya disiasat dan diambil tindakan.

Mohd Na'im dengan itu memohon antaranya perintah injunksi supaya defendan memadam video dan hantaran berkenaan serta menghalangnya daripada menerbitkan semula hantaran terbabit.

Beliau juga menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, teruk dan punitif masing-masing berjumlah RM10 juta, faedah dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Berita Harian X