Isnin, 7 Februari 2022 | 2:48pm

Buruh ladang dipenjara 20 tahun, 8 sebatan lakukan amang seksual terhadap 2 anak

TAWAU : Seorang buruh ladang dihukum penjara 20 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, selepas mengaku salah terhadap dua tuduhan melakukan amang seksual terhadap anak kandungnya, pada Ogos 2020 dan Januari 2021.

Tertuduh berusia 50 tahun yang juga warga Indonesia membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan yang bertindak sebagai hakim.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya yang berusia 17 tahun di sebuah bilik rumah tanpa nombor di rumah pekerja Benta Wawasan Jalan Luasong, Kalabakan, pada jam 10 malam, Ogos 2020.

Bagi pertuduhan kedua pula, lelaki terbabit didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi anak perempuannya berumur 15 tahun pada jam 11 malam, Januari 2021 di lokasi sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa melakukan perbuatan terbabit mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan juga sebat.

Seksyen 16(1) AKSTKK 2017 pula memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan boleh disebat tidak kurang daripada dua sebatan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suriana dalam hujahnya memohon hukuman berat dan setimpal mengambil kira faktor kepentingan awam, selain kedua-dua mangsa adalah anak kandung tertuduh sendiri.

Selain itu, katanya, tertuduh juga sedang disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK) atas kesalahan merogol anak sulungnya.

Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam Jhassary P Kang dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dalam rayuannya memohon hukuman ringan dengan alasan sudah insaf dan menyesal atas perbuatannya, selain mempunyai ramai tanggungan iaitu 10 anak.

Bagaimanapun, Amir Shah dalam penghakimannya berkata, perbuatan tertuduh adalah kesalahan serius yang boleh mendatangkan trauma yang panjang kepada mangsa yang kini sudah remaja dan meningkat dewasa.

Katanya, kedua-dua mangsa wajar dipisahkan daripada tertuduh untuk tempoh yang lama bagi mengelak kesalahan sama berulang.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh dipenjara 10 tahun dan empat sebatan bagi setiap pertuduhan dan berkuat kuasa secara berasingan dari tarikh tertuduh ditangkap pada 11 Januari lalu.

"Tertuduh akan dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya dan di bawah pemantauan pihak polis untuk tempoh selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman," katanya.

Berita Harian X