Ahad, 6 Februari 2022 | 2:40pm

'Ayam segar tak cukup di Johor Bahru'

JOHOR BAHRU: Bekalan ayam segar di bandar raya ini yang berkurangan sejak Tahun Baharu Cina lalu menyebabkan bahan mentah itu habis dijual sebelum tengah hari lagi sejak minggu lalu.

Tinjauan di pasar basah utama di Pandan, di sini, mendapati kebanyakan kedai menjual ayam segar kehabisan stok sebelum jam 12 tengah hari lagi.

Keadaan itu menyebabkan pengguna kecewa kerana sukar membeli dan mendapatkan ayam segar yang didakwa berlaku sejak seminggu lalu.

Yan Mohammad, 50, berkata dia gagal membeli ayam segar sejak seminggu lalu berikutan bahan mentah itu sudah kehabisan sebaik tiba di pasar.

"Kebiasaannya saya akan ke pasar selepas habis shif bekerja kilang untuk membeli barangan dapur dan sejak seminggu lalu, apabila saya ke pasar jam 12 tengah hari, ayam segar sudah kehabisan stok.

"Saya kecewa kerana perkara seperti ini tidak pernah berlaku menyebabkan terpaksa membeli bahan mentah lain, termasuk daging dan ikan yang lebih mahal," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, peniaga ayam, Hafizul Mohamad, 40, berkata bekalan ayam yang terhad diterima daripada pembekal sejak selepas Tahun Baharu Cina menyebabkan stok bahan mentah itu tidak mencukupi.

Katanya, sebelum ini beliau yang mempunyai tiga lot niaga ayam menerima 1,200 ayam segar setiap hari, namun kini hanya menerima antara 250 hingga 600 ayam sehari.

"Ayam segar memang sangat tidak cukup di pasaran. Sejak seminggu lalu memang stok akan habis sebelum jam 12 tengah hari.

"Kami penjual pun serba salah apabila pengguna berebut mendapatkan ayam segar apatah lagi ramai pembeli yang meluahkan kekecewaan mereka berikutan ketiadaan stok ayam.

"Berikutan kekurangan bekalan ayam yang serius ini, kami tidak dapat membekalkan stok kepada pelanggan yang membeli secara pajakan, terutama peniaga restoran dan katering.

"Jika sebelum ini mereka menempah 50 ayam segar sehari, kami hanya dapat bekalkan antara 20 hingga 30 ayam bagi memberi peluang kepada pengguna biasa dapatkan bahan mentah ini," katanya.

Hafizul menunjukkan hanya ayam tua yang tinggal berikutan kekurangan bekalan ayam segar di gerainya di Pandan, Johor Bahru. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Hafizul menunjukkan hanya ayam tua yang tinggal berikutan kekurangan bekalan ayam segar di gerainya di Pandan, Johor Bahru. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Berita Harian X