Ahad, 6 Februari 2022 | 9:42am
Foto hiasan
Foto hiasan

Dua lagi kluster pendidikan dikesan di Negeri Sembilan

SEREMBAN: Dua lagi kluster pendidikan COVID-19 dikesan di Negeri Sembilan membabitkan sekolah menengah di Tampin dan prasekolah di Jempol, dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar Negeri Sembilan, S Veerapan, berkata Kluster Jalan Bakti membabitkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman di Tampin manakala Kluster Taman Serting Jaya, murid prasekolah di Jempol.

Katanya, seramai 16 pelajar sekolah menengah berkenaan disahkan positif COVID-19.

"Kluster Jalan Bakti itu bermula selepas saringan pelajar bergejala dilakukan terhadap 54 pelajar yang disaring sehingga jam 12 tengah hari semalam, dan 16 daripadanya didapati positif COVID-19.

"Kesemua kontak rapat kes juga dikenal pasti dan mereka diberi surat kuarantin wajib," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Kluster Taman Serting Jaya pula dikesan pada Jumaat lalu selepas saringan bergejala terhadap kakitangan di Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) berkenaan.

Katanya, sebanyak 25 kes positif wabak berkenaan dilaporkan membabitkan enam kakitangan, 12 murid dan tujuh kontak rapat murid, sehingga Jumaat lalu.

"Kesemua kontak rapat kes juga telah diasing dan dikuarantin," katanya.

Sebelum ini, Negeri Sembilan merekodkan seramai 743 pelajar sekolah dan institusi pendidikan positif COVID-19 membabitkan 11 kluster pendidikan di negeri itu sehingga akhir bulan lalu.

Berita Harian X