Sabtu, 5 Februari 2022 | 3:05pm
Rosna Zabidi (kanan), 54, dari Penanti, Seberang Perai Tengah, menyuap makanan kepada anaknya, Fazril Hakimi Ahamad, 17, yang juga pengidap kanser tulang tahap empat, ketika ditemui di Taman Jajar, Jalan York, di sini. - Foto ZUHAINY ZULKIFFLI
Rosna Zabidi (kanan), 54, dari Penanti, Seberang Perai Tengah, menyuap makanan kepada anaknya, Fazril Hakimi Ahamad, 17, yang juga pengidap kanser tulang tahap empat, ketika ditemui di Taman Jajar, Jalan York, di sini. - Foto ZUHAINY ZULKIFFLI

Remaja hidap kanser tulang berhasrat jumpa Zii Jia

GEORGETOWN: "Saya suka bermain badminton namun keadaan kaki yang tidak akan pulih sepenuhnya menyebabkan saya memendam impian. Saya juga mempunyai hasrat bertemu dengan pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia suatu hari nanti," kata remaja Fazril Hakimi Ahamad, dari Penanti, Seberang Perai Tengah, di sini, yang mengidap kanser tulang tahap empat sejak 2014.

Fazril Hakimi, 17, berkata, penyakit itu menyebabkan kaki kirinya tidak dapat berjalan dengan baik sehingga menggunakan tongkat dan kerusi roda, selain perubahan ketara pada suaranya.

Ibunya, Rosna Zabidi, 54, berkata, Fazril Hakimi disahkan mengidap penyakit itu selepas dikesan mempunyai benjolan pada lutut.

Beliau berkata, sehingga kini anak bongsu daripada empat beradik itu sudah menjalani pelbagai pembedahan dan kemoterapi di Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini.

"Fazril Hakimi bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tidak menghadapi masalah dalam pelajaran di sekolah berikutan penyakitnya cuma dia memberitahu bahawa pergerakannya yang terbatas.

"Sebagai ibu, sudah tentu saya reda dengan ujian yang menimpa dan kami sekeluarga memberi sokongan serta dorongan dalam pergaulannya dengan menyertai pelbagai aktiviti bersama beberapa badan bukan kerajaan(NGO)," katanya, di sini, hari ini.

Rosna dan Fazril Hakimi ditemui dalam majlis anjuran Persatuan Sahabat Kanak-kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) di Taman Jajar, Jalan York, di sini, hari ini.

Presiden FOCCAN, Maznah Tayib berkata, majlis yang diceriakan dengan pelbagai aktiviti itu dianjurkan sempena Hari Kanser Sedunia, bagi kanak-kanak pengidap kanser yang baru selesai menjalani rawatan intensif.

"Majlis ini dihadiri seramai 40 kanak-kanak pengidap kanser dan yang sudah sembuh berusia antara tiga hingga 20 tahun dari sekitar Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang. Turut sama ialah ibu bapa, waris serta beberapa wakil NGO yang sudi menaja hadiah serta hidangan bagi meraikan kanak-kanak ini," katanya.

Berita Harian X