KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kaedah pelaksanaan mekanisme harga ubat di negara ini masih lagi diperhalusi sebelum pelaksanaannya dimuktamadkan kelak.
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasinya, Norhaliza A Halim, berkata sehingga kini KKM masih memperhalusinya menerusi sesi libat urus semua pemegang taruh.
Mengulas lanjut beliau berkata, sesi libat urus yang dijalankan antaranya membabitkan kementerian yang berkaitan, pihak industri farmaseutikal dan pembekal perkhidmatan kesihatan.
"Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 April 2019 bersetuju untuk melaksanakan meknisme harga ubat.
"Namun KKM masih melaksanakan sesi libat urus yang turut membabitkan pembekal perkhidmatan insurans dan persatuan pengguna serta pesakit," katanya kepada BH, di sini.
Sebelum ini, analisis kos-manfaat cadangan yang diperoleh laman web kesihatan CodeBlue, mendapati dasar baharu kawalan harga ubat-ubatan itu jika dilaksanakan, boleh menyebabkan satu pertiga klinik swasta menghentikan operasi dan menjejaskan sehingga 136,000 petugas perkhidmatan penjagaan kesihatan sektor berkenaan.
Menurut CodeBlue, peraturan baharu itu boleh menyebabkan 33 peratus atau 2,600 klinik swasta menutup operasi kerana fasiliti berkenaan banyak bergantung kepada hasil preskripsi ubat-ubatan untuk menjamin operasi kekal menguntungkan.
Pada masa sama, KKM juga sedang mengkaji secara menyeluruh kaedah pelaksanaan yang paling sesuai dengan mengambil kira pandangan dan isu yang dibangkitkan dalam dapatan kajian analisis kos-faedah yang dijalankan.
Beliau berkata, semua pandangan dan isu dihangkitkan melalui kajian sama ada oleh KKM ataupun pihak industri yang dikoordinasikan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia turut diambil kira.
"Ini bagi memastikan semua pemegang taruh beroleh manfaat dan situasi menang-menang dapat dihasilkan," katanya.