Jumaat, 4 Februari 2022 | 6:12pm
Ahli Parlimen Masjid Tanah merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyampaikan sumbangan kepada pelajar pusat tahfiz al-Qurandalam Parlimen Masjid Tanah di Kompleks Sukan Masjid Tanah, Melaka, hari ini. - NSTP/HASSAN OMAR
Ahli Parlimen Masjid Tanah merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyampaikan sumbangan kepada pelajar pusat tahfiz al-Qurandalam Parlimen Masjid Tanah di Kompleks Sukan Masjid Tanah, Melaka, hari ini. - NSTP/HASSAN OMAR

PN ambil iktibar PRN Melaka hadapi PRN Johor

MASJID TANAH: Perikatan Nasional (PN) mengambil iktibar daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November lalu untuk mencipta kejayaan pada PRN Johor tidak lama lagi.

Naib Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata segala kelemahan dan kekuatan yang ada pada jentera PN, terutama BERSATU dijadikan panduan untuk menggerakkan jentera gabungan itu bagi menghadapi PRN Johor.

"Kita mencuba sedaya upaya dan kita jadikan PRN Melaka sebagai iktibar bagi menggerakkan jentera PN pada PRN Johor. Yang baik kita jadikan teladan dan yang buruk kita jadikan sempadan bagi memastikan calon kita menang, insya-Allah," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada 15 pusat tahfiz al-Quran dalam Parlimen Masjid Tanah di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini hari ini.

Setiap pusat berkenaan menerima sumbangan antara RM1,500 hingga RM3,000 membabitkan peruntukan keseluruhan lebih RM40,000.

Pada PRN Melaka, PN meletakkan calon di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi hanya menang dua, iaitu DUN Sungai Udang dan Bemban, malah Mas Ermieyati sendiri yang dinamakan sebagai calon Ketua Menteri Melaka jika PN berjaya membentuk kerajaan negeri, tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) di Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah merangkap Ketua BERSATU bahagian berkenaan, berkata Srikandi bakal menggerakkan Sri 10, iaitu kumpulan wanita yang mengenal pasti jumlah pengundi di sesuatu kawasan untuk diberikan penjelasan mengenai hala tuju PN.

Beliau juga memaklumkan, kempen jentera pilihan raya PN bukan setakat ditumpukan kepada pengundi berusia 18 hingga 21 tahun, sebaliknya semua peringkat umur.

"Gerak kerja kita bermula dari pengundi berumur 18 tahun ke atas dan kita lihat bagaimana untuk menyantuni pengundi," katanya.

Berita Harian X