Jumaat, 4 Februari 2022 | 11:49am
Pengguna perlu sedia berdepan kenaikan harga barang. - Foto hiasan
Pengguna perlu sedia berdepan kenaikan harga barang. - Foto hiasan

Pengguna perlu bersedia hadapi kenaikan harga

KUALA LUMPUR: Pengguna perlu sedia berdepan kenaikan harga barang susulan pengenaan surcaj 3.7 sen bagi setiap kilowatt sejam (kWj) yang dikenakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada pengilang dan kenaikan itu akibat kos tambahan terpaksa ditanggung pengilang yang kini bergelut untuk kembali menjana perniagaan.

Presiden Kebangsaan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, Ding Hong Sing, berkata kenaikan tarif itu tentu memberi tekanan kepada proses pemulihan semua pengguna komersial dan industri ter- utama PKS.

Beliau berkata, syarikat yang terbabit dalam pembuatan terutama menggunakan tenaga elektrik yang banyak akan berdepan tambahan kos, lantas kenaikan kos operasi mendorong kepada peningkatan harga barang.

Katanya, secara lazim kos elektrik bagi kilang mewakili sekitar lima hingga 35 peratus, bergantung kepada jenis produk yang dihasilkan.

"Jika kos elektrik meningkat 10 peratus, mereka yang ada bil elektrik sebanyak RM100,000 sebulan akan berdepan kenaikan RM10,000, manakala mereka dengan bil elektrik RM10,000 sebulan berdepan peningkatan RM1,000 sebulan," katanya kepada BH bagi mengulas impak pengenaan surcaj elektrik 3.7 sen/kWj kepada pelanggan komersial dan industri.

Hong Sing berkata, peningkatan kos elektrik sememangnya sukar kepada PKS di tengah-tengah pemulihan daripada impak negatif penularan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, mengambil kira kedudukan semasa, masa sesuai menaikkan kadar elektrik adalah dalam tempoh satu hingga dua tahun selepas keadaan dilihat lebih stabil.

Katanya, pada masa ini, banyak industri masih berdepan kesukaran dan peningkatan kos elektrik akan memberi tekanan.

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai pula mengulangi pendiriannya sebelum ini bahawa sekarang bukan masa sesuai menyemak semula tarif elektrik, terutama bagi sektor perkilangan.

Beliau berkata, walaupun FMM menghargai lanjutan selama setahun yang menyaksikan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) dikekalkan sepanjang 2021, tetapi masih banyak kilang yang belum pulih selepas pandemik COVID-19.

Katanya, ketika ini, industri sedang bergelut dengan harga inflasi membabitkan hampir semua kos perniagaan dan kemudian terpaksa menangani kenaikan harga tenaga, yang juga memberi kesan ke atas kos barangan lain, terutama bahan mentah yang boleh melonjakkan inflasi.

"Jika kos operasi terus meningkat, pengilang mungkin perlu membuat beberapa pelarasan kepada kos operasi mereka seperti meningkatkan harga produk, yang menjadi pilihan terakhir disebabkan pasaran kompetitif atau strategi rasionalisasi kos lain membabitkan pengurangan perbelanjaan pentadbiran dan kakitangan, termasuk membekukan pengambilan pekerja yang menjejaskan usaha pemulihan perniagaan," katanya.

Beliau berkata, keupayaan pengeluar menyerap kos operasi lebih tinggi dalam tempoh sangat sensitif seperti sekarang adalah sangat terhad.

Kerajaan bersetuju pemberian rebat dua sen/kWj dikekalkan kepada semua pengguna domestik dan tiada surcaj dikenakan. - Foto hiasan
Kerajaan bersetuju pemberian rebat dua sen/kWj dikekalkan kepada semua pengguna domestik dan tiada surcaj dikenakan. - Foto hiasan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), T Saravanan, berkata di sebalik itu, pengekalan kadar tarif elektrik bagi pengguna domestik di Semenanjung Malaysia untuk Tempoh Regulatori Ketiga (RP3) dapat membantu rakyat menampung kos sara hidup yang tinggi berikutan impak pandemik dan banjir.

Beliau berkata, walaupun berlaku peningkatan kos bahan api ekoran kenaikan harga arang batu di pasaran sehingga mencecah AS$200 satu tan, kerajaan melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) akan menampung kos bahan api untuk tempoh bulan ini hingga Jun 2022.

Beliau berkata, dengan subsidi, pengguna tidak perlu membayar kos tinggi untuk penggunaan tenaga elektrik.

"Kerajaan bersetuju pemberian rebat dua sen/kWj dikekalkan kepada semua pengguna domestik dan tiada surcaj dikenakan. Kerajaan memperuntukkan dana KWIE sebanyak RM715 juta untuk menanggung kos itu," katanya.

Berita Harian X