Khamis, 3 Februari 2022 | 6:53pm
CAP menyarankan kerajaan menilai kembali penggunaan tanah di negara ini dengan memberi penekanan kepada soal pengeluaran makanan asas. - Foto hiasan
CAP menyarankan kerajaan menilai kembali penggunaan tanah di negara ini dengan memberi penekanan kepada soal pengeluaran makanan asas. - Foto hiasan

Syor beri penekanan pengeluaran makanan asas

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyarankan supaya kerajaan menilai kembali penggunaan tanah di negara ini dengan memberi penekanan kepada soal pengeluaran makanan asas.

Pada masa sama, kebergantungan kepada import makanan perlu di atasi dengan segera.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, berkata kerajaan perlu melihat secara serius keperluan bagi mewujudkan pengeluaran makanan ternakan di dalam negara bagi mengekang isu makanan haiwan dari luar negara yang mahal.

Pihaknya menyokong ketegasan dan campur tangan kerajaan walaupun penternak meminta harga ayam di ladang dinaikkan yang pastinya mempengaruhi harga pasaran sehingga mencecah melebihi RM10 sekilogram.

"Kami menyambut baik keputusan menetapkan harga siling runcit ayam pada harga RM8.90 di Semenanjung Malaysia walaupun kerajaan terpaksa menyediakan subsidi bagi menampung harga itu kepada pengguna.

"CAP juga berpandangan positif terhadap keputusan kerajaan mengekalkan harga telur gred A, B dan C pada harga Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) terkini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader. - Foto fail NSTP
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader. - Foto fail NSTP

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, kerajaan juga perlu memantau dan menerima aduan daripada pengguna jika didapati peniaga menaikkan harga. Pengguna perlu menggunakan saluran yang betul apabila mendedahkan ada peniaga yang cuba meraih keuntungan berlebihan.

"CAP mencadangkan supaya kerajaan membenarkan pihak pasar raya besar mengimport ayam bulat dari negara luar dengan syarat pematuhan terutama daripada segi halal dan kesegaran serta kebersihan namun ia adalah langkah jangka pendek.

"Namun pendekatan yang terbaik adalah bagi memperkukuhkan pengeluaran dalam negara secara lestari," katanya.

Sehubungan itu, CAP mengalu-alukan tindakan kerajaan bagi menstabilkan harga barangan seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 31 Januari lalu.

Berita Harian X