Khamis, 3 Februari 2022 | 6:12pm
Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil
Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil

Mohamed Azam dilantik KP IKIM baharu

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS), Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil dilantik Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), berkuat kuasa hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, berkata pelantikan Mohamed Azam, 56, mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, Mohamed Azam berpengalaman luas dalam bidang akademik, penyelidikan, pengurusan dan pentadbiran serta dakwah di media.

Katanya, ketokohan latar belakang Mohamed Azam diyakini mampu melakar kegemilangan IKIM sebagai institusi Islam yang menjalankan kajian dan penyelidikan berkaitan pemerkasaan umat Islam dalam pelbagai bidang.

"Pada masa sama, beliau diharap dapat memperkasa aspek penerangan kefahaman Islam termasuk melalui penyiaran Islam Radio IKIM.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Mohamed Azam atas pelantikan ini. Selamat menjalankan amanah ini dengan sepenuh hati demi agama, negara dan ummah. Semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan pedoman dalam setiap tindakan dilaksanakan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamed Azam dilahirkan pada 18 Jun 1966 dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang syariah di Universiti Malaya (UM) pada 1990.

Beliau seterusnya menyambung pengajian di peringkat sarjana pada 1993 di School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London, United Kingdom (UK) dan kelulusan tertingginya adalah Ijazah Doktor Falsafah dalam jurusan undang-undang pada 2007, juga di University of London.

Idris berkata, dalam dunia akademik di institusi pengajian tinggi (IPT), Mohamed Azam bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dari 1990 hingga 2020.

"Beliau juga pernah dilantik Pengerusi Jawatankuasa Syariah, Kumpulan CIMB pada 2014 hingga 2017.

"Penulisan akademik dan syarahan beliau terutama dalam bidang perundangan Islam sentiasa menjadi rujukan sehingga peringkat antarabangsa," katanya.

Berita Harian X