Khamis, 3 Februari 2022 | 3:51pm
Perdana Menteri hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis TVET Negara(MTVET) secara telesidang yang turut dihadiri oleh 13 menteri, tokoh industri termasuk dari Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia, ahli akademik dan wakil pelajar. - Foto PMO
Perdana Menteri hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis TVET Negara(MTVET) secara telesidang yang turut dihadiri oleh 13 menteri, tokoh industri termasuk dari Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia, ahli akademik dan wakil pelajar. - Foto PMO
Mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) yang berlangsung hari ini memperakukan penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri (GITC). - Foto PMO
Mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) yang berlangsung hari ini memperakukan penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri (GITC). - Foto PMO

TVET pilihan pertama kerjaya

PUTRAJAYA: Majlis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara bersetuju dengan cadangan penarafan tunggal TVET.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata proses libat urus beberapa kementerian dan penggiat industri perlu dilaksanakan, sebelum laporan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis TVET akan datang.

"Inisiatif ini dijangka memperkukuh simbiosis ekosistem TVET dalam menghubungkan pihak yang terbabit untuk merapatkan jurang di antara permintaan dan penawaran tenaga kerja.

"Usaha yang dilaksanakan Majlis TVET amat signifikan bagi merealisasikan strategi dan inisiatif yang dirangka di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"Dalam Bajet 2022, kerajaan memperuntuk RM6.6 bilion untuk memperkasa TVET melalui pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan oleh kementerian dan agensi berkaitan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri hari ini mempengerusikan mesyuarat majlis itu yang dijalankan secara telesidang dan dihadiri oleh 13 menteri, tokoh industri, termasuk dari Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia, ahli akademik dan wakil pelajar.

Ketika ini, terdapat 1,295 penyedia TVET awam dan swasta yang dikawal-selia oleh 11 kementerian, termasuk 22 institusi TVET kerajaan negeri yang menyediakan pengajian serta latihan peringkat sijil dan diploma.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat itu juga bersetuju dengan pelaksanaan Hab Kerjasama TVET, membabitkan 11 kementerian dan hab itu diselaraskan Kementerian Pengajian Tinggi.

Katanya, hab berkenaan menjadi platform kerjasama strategik kepakaran, peralatan dan teknologi di antara pusat kecemerlangan dengan institusi TVET, pihak berkuasa wilayah ekonomi dan industri.

Perdana Menteri berkata, sejumlah 12 hab dikenal pasti termasuk automotif, semikonduktor, marin, penyaman udara, aeroangkasa, robotik, rel, telekomunikasi, hospitaliti dan pelancongan serta teknologi makanan, yang akan dilaksanakan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Pelaksanaan inisiatif terbabit, menurut Ismail Sabri, bakal menyediakan graduan yang menepati keperluan industri, meningkatkan kualiti institusi TVET, memperkukuh penawaran program berorientasikan industri dan memperhebat keterlibatan aktif industri.

"Tiba masanya untuk TVET menjadi pilihan utama belia dalam mempersiapkan mereka untuk masa depan kerana ini terbukti mampu melahirkan individu berkemahiran, terlatih dan berbudaya usahawan," katanya.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat semalam juga memperaku penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri (GITC).

Beliau berkata, badan diterajui industri itu akan terbabit secara langsung dalam pembangunan modal insan TVET, khususnya berkaitan keperluan kemahiran dan tenaga kerja.

"Keanggotaan GITC terdiri daripada 12 persatuan berdasarkan sektor industri yang bersetuju bersama-sama berganding bahu menjayakan agenda TVET negara melalui GITC," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga sudah mengiktiraf Diploma Vokasional Malaysia sebagai laluan ke rangkaian universiti teknikal awam di Malaysia, iaitu Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

"Menyedari kepentingan TVET, mesyuarat bersetuju agar kempen promosi dan penjenamaan semula dilakukan secara komprehensif bagi menghapuskan persepsi yang mengatakan TVET adalah pendidikan kelas kedua dan sudah tidak relevan lagi.

"Melalui kempen dan promosi ini, kita mengharapkan supaya TVET dijadikan pilihan setara dengan akademik, sekali gus menjadi kerjaya pilihan seperti negara maju," katanya.

Berita Harian X