Khamis, 3 Februari 2022 | 1:46pm

Letupan sukarkan penduduk bantu mangsa rentung

TUMPAT: "Saya terdengar bunyi dentuman sangat kuat sehingga beberapa barangan dalam rumah turut bergegar," kata saksi kemalangan yang membabitkan tiga maut di Jalan Wakaf Bharu Palekbang, di sini, awal pagi tadi.

Mohd Syukri Mohd Zain, 30, berkata dia segera bergegas keluar sebelum ternampak sebuah kereta sedang terbakar selepas merempuh pagar serta tiang rumah kosong bersebelahan.

"Kereta Honda HRV itu sedang terbakar di bahagian enjin. Saya nampak tangan seorang mangsa sudah kaku di dalamnya.

"Ketika itu, api belum marak jadi saya bergegas menadah air untuk memadamnya, tetapi tidak lama kemudian, satu dentuman berlaku diikuti beberapa lagi letupan menyebabkan saya dan beberapa individu lain yang cuba membantu terpaksa berundur," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi tadi, Honda HRV terbabit terbabas dan merempuh pagar serta tiang sebuah rumah kosong sebelum terbakar yang mengorbankan tiga mangsa.

Dua mangsa belum dikenal pasti identiti rentung dalam kenderaan itu, manakala seorang lagi mangsa, Mohd Khairul Anuar Iskandar, 33, maut selepas tercampak keluar.

Tiga maut termasuk dua rentung selepas sebuah kereta jenis Honda HRV terbabas dan terbakar di Jalan Wakaf Bharu Palekbang, awal pagi tadi. - Foto ihsan pembaca
Tiga maut termasuk dua rentung selepas sebuah kereta jenis Honda HRV terbabas dan terbakar di Jalan Wakaf Bharu Palekbang, awal pagi tadi. - Foto ihsan pembaca

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri (tengah) melihat dua buah kereta yang hangus dalam kemalangan membabitkan tiga maut di kejadian di Jalan Wakaf Bharu Palekbang, awal pagi tadi ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Mohd Syukri berkata, memandangkan keadaan lokasi yang gelap, mereka tidak menyedari ada mangsa tercampak di tepi jalan tidak jauh dari kenderaan yang sedang terbakar.

Katanya, kebakaran itu juga menyebabkan sebuah Proton Wira digunakan adik iparnya bagi kerja penghantaran barang, hangus 100 peratus kerana Honda HRV yang terbabas itu dan terbakar bersebelahan kereta itu.

"Semua barang-barang yang belum dihantar dan berada Proton Wira terbabit itu turut musnah terbakar. Sebelum api marak, saya sempat mengalihkan sebuah lagi Proton Wira milik saya dari tempat kejadian," katanya.

Anggota forensik memeriksa di tempat kejadian. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Anggota forensik memeriksa di tempat kejadian. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X