X
Khamis, 3 Februari 2022 | 12:34pm

Saya sudah tempah vaksin untuk anak - Khairy

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin mengesahkan sudah membuat tempahan untuk suntikan vaksin bagi anaknya yang berusia enam tahun, semalam.

"Semalam saya sendiri buat tempahan untuk anak saya. Ini bagi menjawab tohmahan yang kata saya tak vaksin, malah anak pun tak vaksin.

"Anak saya berumur enam tahun akan divaksin dan Insya-Allah saya harap yang lain juga akan buat tempahan kepada anak-anak mereka," katanya berkongsi perkara itu ketika berucap pada Majlis Pelancaran program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids), hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Khairy berkata, cabaran utama pihaknya kini adalah untuk memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa vaksin untuk kanak-kanak adalah selamat.

Khairy (berdiri tengah) menyaksikan Dr Noor Azmi memberikan suntikan kepada Ahmad Ramdhani Jafri, 11, yang hadir bersama ibunya, Hasmah Hashim, (tiga dari kiri) di majlis pelancaran PICKids di Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur. - NSTP/Eizairi Shamsudin

"Ramai terutamanya di media sosial meminta supaya tidak dipaksa (pengambilan vaksin) dan sebagainya. Saya memberi jaminan, contohnya jika orang dewasa tak lengkap vaksin, kita tak benarkan mereka masuk ke kedai makan, pusat beli-belah dan sebagainya, tetapi untuk kanak-kanak ia tiada syarat itu.

"Mereka diberikan pengecualian kerana kita nak pastikan ibu bapa yakin dengan proses ini, tidak terasa dipaksa dan vaksin ini akan melindungi anak mereka daripada kesan yang lebih buruk daripada jangkitan COVID-19," katanya.

Beliau yakin dengan terlaksananya PICKids, negara dapat mencapai tahap pemberian vaksin yang memuaskan.

"Kita bukan saja dapat menjaga kesihatan awam, tetapi merancakkan semula pemulihan ekonomi negara," katanya.

Khairy beramah mesra bersama ibu bapa dan kanak-kanak pada majlis pelancaran PICKids di Auditorium Perdana, Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Khairy beramah mesra bersama ibu bapa dan kanak-kanak pada majlis pelancaran PICKids di Auditorium Perdana, Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Berita Harian X