Rabu, 2 Februari 2022 | 7:17pm

Ibu bapa bantah tutup SK Assumption

BUTTERWORTH: Ibu bapa pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Assumption di Jalan Bagan Dalam di sini, sekali lagi membuat bantahan penutupan operasi sekolah hujung bulan ini.

Mereka tidak dapat menerima keputusan Kementerian Pendidikan yang mahu menutup operasi sekolah itu.

Hari ini lebih 30 individu berhimpun di hadapan sekolah berusia 90 tahun itu pagi semalam dengan memegang beberapa sepanduk untuk menyatakan bantahan terhadap keputusan berkenaan.

Jurucakap Pasukan Petugas Bersama 'Save Assumption School', Vernon Fernandez, berkata pihaknya mahu kementerian menarik semula arahan penutupan sekolah dan meluluskan pembentukan lembaga pengelola sekolah.

"Kementerian Pendidikan juga digesa mengadakan rundingan terus dengan pemilik tanah dan pihak berkepentingan bagi mencari penyelesaian terbaik demi SK Assumption.

"Selain itu, kementerian perlu berpegang pada suratnya yang bertarikh 5 September 2013 dan 22 Oktober 2018, iaitu ia tiada niat untuk menutup sekolah ini," katanya yang turut menyertai bantahan berkenaan.

Jangkitan mesti disahkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dalam kalangan pelajar, guru atau kakitangan sekolah. - Foto NSTP/DANIAL SAAD
Jangkitan mesti disahkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dalam kalangan pelajar, guru atau kakitangan sekolah. - Foto NSTP/DANIAL SAAD

Jelas Vernon, pihaknya sebelum itu menulis empat surat kepada kementerian bagi mencari penyelesaian namun tidak menerima maklum balas.

Sementara itu, bapa murid Tahun Satu sekolah itu, Shahrezan Sickandar, 42, berkata adalah satu kerugian jika sekolah yang melahirkan ramai tokoh serta bakat besar negara dalam pelbagai bidang itu ditutup.

Pada 24 Januari lalu, KPM dalam kenyataan memaklumkan bahawa murid dan guru SK Assumption bakal disuraikan ke sekolah lain berhampiran dengannya.

Keputusan itu dibuat berikutan bangunan dan tapak sekolah itu adalah milik syarikat Sri Avenue Sdn Bhd.

Bagaimanapun, mengambil kira sesi persekolahan yang sedang berlangsung, KPM sudah memohon penangguhan pengosongan bangunan dan tapak sekolah hingga tamat sesi persekolahan penggal 3, 2021/2022 pada Mac 2022.

Antara kumpulan individu antaranya bekas pelajar dan ibu bapa berhimpun membantah penutupan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Assumption, Butterworth di sini. - Foto NSTP/Danial Saad
Antara kumpulan individu antaranya bekas pelajar dan ibu bapa berhimpun membantah penutupan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Assumption, Butterworth di sini. - Foto NSTP/Danial Saad
Berita Harian X